Hubungan China dan DRC Ditingkatkan ke Perkongsian Strategik Komprehensif

2023-05-26 21:33:13  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Republik Demokratik Congo (DRC), Félix-Antoine Tshisekedi Tshilombo mengadakan rundingan di Dewan Besar Rakyat di Beijing petang tadi. Kedua-dua pemimpin mengumumkan untuk meningkatkan hubungan dua hala sebagai perkongsian strategik komprehensif.

Xi menyatakan bahawa China bersedia dengan DRC meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan negara masing-masing, dan saling menyokong serta bersama-sama mencari peluang kerjasama ketika menempuh jalan pembangunan ke arah maju jaya. Beliau yakin pembangunan berkualiti tinggi yang dipergiatkan di China akan menyediakan lebih banyak peluang kerjasama dan pasaran yang lebih luas kepada DRC sekali gus menggalakkan hubungan bilateral berkembang ke arah yang lebih cerah.   

Xi menekankan bahawa mendepani situasi antarabangsa pada masa ini, China dan Afrika berasa kian mendesak untuk mempertingkat perpaduan dan kerjasama. China teguh menyokong Afrika menempuh jalan pembangunan yang mandiri, dan bersedia bersama-sama rakan Afrika mendorong pembinaan dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menyokong Afrika mewujudkan pembangunan lestari dan sinergi membina komuniti berkongsi nasib China-Afrika pada era baharu.

Presiden Félix-Antoine Tshisekedi Tshilombo pula menyatakan bahawa pihaknya memegang dasar Satu China dengan tegas dan menyokong usaha China untuk memperjuangkan penyatuan tanah air. DRC bersedia bersama China memperkasakan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, sumber tenaga, infrastruktur, perubatan dan kesihatan, membina hubungan dua hala yang stabil dan matang demi kesejahteraan rakyat.