Cantas Hubungan dengan China Barulah Berisiko
Menurut tinjauan AmCham China, 66% perusahaan Amerika Syarikat (AS) di China akan mengekalkan atau menambah pelaburan ke China pada masa depan. Menurut laporan Dewan Perniagaan Kesatuan Eropah ke China pula, hampir 60% perusahaan yang terlibat dalam tinjauan berkenaan menyatakan akan menambah belanjawan dalam penyelidikan dan pembangunan di China 'secara sederhana' atau 'secara menonjol'. Bagi Dewan Perniagaan Australia ke China, lebih 60% syarikat di negaranya melihat China antara tiga destinasi pelaburan terdepan dalam senario global.
Kesemua tinjauan tersebut menjelaskan kenapa terdapat lonjakan besar dalam penggunaan modal asing di China sejak sekian lama. Pada Januari hingga April, pelaburan asing yang tertanam di China meningkat 2.2% berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan mencecah RMB500 bilion (RM325.63 bilion), antaranya pelaburan dari Perancis, Britain dan Korea Selatan bertambah dengan amat banyak.
Dimaklumkan, pelabur asing bukan lagi hanya memilih membuka kilang sahaja, tetapi juga cenderung menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan di China. Apa sebabnya yang menjadikan peralihan dari "buatan di China" kepada "ciptaan dengan China" berlaku? Dimaklumkan lagi, prospek pasaran, keuntungan, persekitaran inovatif dan pelaksanaan dasar yang konsisten merupakan antara faktor-faktor yang dipertimbangkan perusahaan ketika menanam pelaburan.
Lihat saja pembangunan yang stabil, pertumbuhan ekonomi yang mantap, pasaran yang bukan main besarnya yang bertunjangkan 400 juta penduduk yang berpendapatan sederhana dan lain-lain. Kesemua faktor tersebut tak syaklah bersifat memukau bagi pelabur asing. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sudah pun menaikkan unjurannya terhadap pertumbuhan ekonomi China sepanjang tahun 2023 dari 4.8% kepada 5.3%. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula, China akan menyumbang 34.9% kepada pertumbuhan ekonomi global pada 2023.
Sementara itu, sistem industri China yang berskala besar dan lengkap serta infrastruktur yang maju, secara tidak langsung membantu sektor korporat menjimatkan kos operasi. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, pelabur langsung asing (FDI) boleh membawa pulangan pada kadar 9.1%, iaitu antara tangga teratas dalam ranking dunia.
Selain itu, China kian hari kian menyerlah dalam bidang inovasi sejak akhir-akhir ini. Menurut Indeks Inovatif Global Edisi 2022 yang disiarkan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), China menduduki tempat ke-11 dalam ranking dunia, sekali gus menyaksikan peningkatan untuk 10 tahun berturut-turut. Tambahan lagi, pelaksanaan dasar pintu terbuka yang konsisten di China sangat kondusif bagi pelabur asing untuk mengecapi dividen pembangunan.
Maka, boleh dikatakan apa yang disebut 'mencantas hubungan' dengan China, barulah yang berisiko.