RCEP Bakal Kembalikan Pusat Ekonomi ke Asia

2023-05-31 14:45:35  CRI
Share with:

April lepas, Filipina mengesahkan penyertaan dalam perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan mula berkuat kuasa 2 Jun ini. Ia melengkapkan keseluruhan negara ASEAN yang menyertai RCEP termasuk Malaysia, bersama-sama lima lagi negara Asia Pasifik yang juga merupakan negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Ini tentunya memberi petanda baik apabila keseluruhan negara ASEAN sah menyertai RCEP, iaitu untuk mewujudkan perkongsian ekonomi moden, komprehensif, berkualiti tinggi dan saling menguntungkan yang akan memudahkan pengembangan perdagangan dan pelaburan serantau dan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi global di rantau Asia Pasifik.

RCEP yang mula dikuatkuasa kira-kira dua tahun lalu, telah memberi impak positif terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), antaranya membantu dengan penghapusan atau pengurangan tarif import sehingga 90 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang, sekali gus menggalak dan merancakkan lagi perdagangan antara negara terlibat. Ia akan membolehkan perniagaan di negara terlibat dengan RCEP mendapat akses kepada pasaran serantau yang lebih luas.

Malaysia boleh mengambil peluang ini untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat dan ekonomi negara menerusi banyak peluang terhidang yang boleh diperolehi bersama rakan kerjasama. Sistem yang direka untuk mencipta dan menyokong perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan inklusif ini bakal mewujudkan ruang pasaran dan peluang pekerjaan untuk perniagaan masyarakat rantau ini.

Peluang terbuka ini harus dimanfaat sebaiknya, dengan meningkatkan dagangan dengan negara kuasa besar ekonomi Asia seperti China. Sepertimana yang diketahui, ASEAN merupakan rakan perdagangan terbesar China dengan nilai dagangan kedua-dua pihak mencecah hampir USD1 trilion. Empat bulan pertama tahun ini sahaja, USD300 bilion nilai dagangan dicatat dengan peningkatan 13.9 peratus saban tahun iaitu kadar pertumbuhan terpantas China berbanding rakan dagangan utama lain.

Ia gambaran jelas bahawa RCEP bakal mengubah landskap ekonomi lebih besar dan ketara bagi negara terlibat dengan penyertaan antara kuasa ekonomi terbesar Asia iaitu China, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia. Gabungan negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah menurunkan cukai import lebih banyak dan memperkukuhkan peraturan asas e-dagang, perdagangan dan harta intelek kesemua negara terlibat.

Jangkaan peningkatan luar biasa adalah tidak mustahil apabila 15 negara mencatat 30 peratus populasi atau 2.2 bilion orang, dengan hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah hampir USD30 trilion, terbesar dalam sejarah blok dagangan dunia.

Ia bakal menawarkan keuntungan ekonomi ketara bagi negara yang menandatangani termasuk Malaysia, meningkatkan pemulihan ekonomi pasca pandemik dan juga dapat menarik semula pusat ekonomi kembali ke Asia.


(Oleh Ahmed Faisal Bin Jamal)