Xi Mahu Kanak-kanak China Berkembang Holistik

2023-06-01 12:25:19  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping menggalakkan kanak-kanak China mempunyai visi pandangan yang jauh, memasang impian yang tinggi, menghayati setiap aktiviti pembelajaran dan bidang yang diceburi, memupuk sifat bersyukur, serta berani berinovasi dan sentiasa gigih berusaha.

Harapan itu diluahkan beliau semasa lawatan ke Sekolah Yuying Beijing pada Rabu menjelang Hari Kanak-kanak Antarabangsa yang disambut setiap 1 Jun.

Xi berkata kanak-kanak adalah masa depan nusa serta harapan bangsa, dan perkembangan holistik merupakan cakupan dari semua kemampuan si kecil.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar di gelanggang bola keranjang, sambil berkongsikan bahawa perkembangan fizikal perlu diutamakan.

Menurut beliau, sukan dan senaman merupakan kaedah yang paling berkesan dalam membina kekuatan fizikal kanak-kanak.

“Adalah penting untuk mencipta suasana kondusif yang melibatkan guru, pihak sekolah, keluarga dan seluruh masyarakat untuk terus menyumbang kepada peningkatan kecergasan fizikal kanak-kanak,” kata Xi.

Apabila singgah di sebuah kebun yang diusahakan pelajar sendiri, Presiden itu menyatakan amalan bercucuk tanam harus dibudayakan sejak kecil.

Beliau memberitahu para pelajar bahawa pengetahuan terhadap alam semula jadi bermula dengan menerokai tumbuh-tumbuhan di sekeliling mereka.

Xi menzahirkan harapan agar golongan itu dapat menghargai jasa dan bakti yang dicurahkan kaum tani sepanjang berladang, memupuk minat bercucuk tanam serta menghormati alam.