Kenyataan Musk Harus Diambil Kira Washington

2023-06-01 13:29:36  CRI
Share with:

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Elon Musk melawat China dan bertemu dengan Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Qin Gang pada Selasa lalu.

Musk dalam pertemuan itu menegaskan Tesla menentang tindakan 'cantas hubungan atau putus rantaian'.

"Kepentingan Amerika Syarikat (AS) dan China diikat rapat, umpama kembar Siam yang tidak boleh dipisahkan," kata Musk.

Tatkala hubungan antara China dengan AS menghadapi kesukaran buat masa ini, kenyataan Musk yang mencerminkan suara hati usahawan AS itu wajar diambil kira oleh pihak Washington.

Sebagai seorang usahawan yang mempunyai personaliti unik, Elon Musk tidak pernah menyembunyikan perhatiannya terhadap pasaran China. Dalam tiga tahun lalu, Tesla mengembangkan perniagaan di China dan mencapai hasil memberangsangkan.

Menurut laporan tahunan Tesla, pada tahun 2022, kilang Tesla di Shanghai telah menyerahkan sebanyak 710 ribu buah kereta elektrik (EV), angka itu melebihi separuh jumlah pengeluaran Tesla di seluruh dunia. Dalam bulan Januari hingga April tahun ini, Tesla menyerahkan 170 ribu EV di pasaran China, menokok 61 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Apabila kerajaan AS menghasut syarikat untuk "cantas hubungan" dan "mengurangkan risiko", pegawai-pegawai kanan syarikat besar dari negara itu melawat China untuk mencari peluang, bukankah ini dapat membuktikan "pembangunan China, peluang dunia"?

Perusahaan AS memandang positif terhadap pasaran China kerana mereka faham bahawa sekatan dan halangan kerajaan AS ke atas China akan menjejaskan kepentingan syarikat, dan mereka tidak ingin menjadi korban politik.

Ekonomi China dan AS berkait rapat, dan kerjasama saling menguntungkan bukan sahaja sesuai dengan kepentingan kedua-dua negara, tetapi juga bermanfaat kepada dunia. Inilah pengetahuan umum, yang juga terbukti berulang kali.

Sejak sekian lama, Beijing bersikap ikhlas untuk membaiki hubungan dengan Washington, namun ia memerlukan usaha sehaluan kedua-dua pihak.

Pegawai Washington meramalkan hubungan kedua-dua negara akan "cair". Apakah mereka betul-betul bersiap sedia untuk menghentikan tindakan salah dan mempromosikan kerjasama sama menang untuk kedua-dua negara? Usahawan dari AS seperti Elon Musk pasti menanti-nantikan tindakan sedemikian.