China Hantar Wakil Khas, Galakkan Penyelesaian Damai Krisis Ukraine

2023-06-03 15:24:43  CRI
Share with:

Wakil khas kerajaan China atas hal ehwal Eurasia, Li Hui melawat Ukraine, Poland, Perancis, Jerman, ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia pada 15 hingga 26 Mei lalu untuk mengadakan komunikasi dan pertukaran pendapat dengan pihak-pihak terlibat mengenai penyelesaian damai krisis Ukraine.

Dalam rangka lawatan itu, Li Hui telah menjelaskan pendirian China, mendengar pandangan dan cadangan pelbagai pihak berkaitan, serta membulatkan lebih banyak konsesus antarabangsa. Di samping itu, pihak-pihak berkaitan juga memuji peranan positif China bagi mendorong rundingan damai.

Li Hui menyatakan bahawa ini kali pertama China menghantar rombongan khas ke negara-negara tersebut untuk menjalankan pengantaraan diplomatik bagi penyelesaian damai krisis Ukraine.

Beliau menyatakan pelbagai pihak menghargai usaha China itu dan berharap krisis dapat diselesaikan secara damai. Pada masa sama, risiko peningkatan peperangan tetap tinggi, dan pelbagai pihak memberikan perhatian tinggi tentang risiko kesan limpahan krisis, khususnya dalam isu keselamatan nuklear, kemanusiaan dan keselamatan bahan makanan.

Menurut wakil khas China itu, hakikat krisis Ukraine adalah cetusan konflik tadbir urus keselamatan di Eropah. China bersedia sekali lagi menghantar pegawai ke negara-negara terlibat untuk mengadakan komunikasi serta mengekalkan komunikasi dengan pelbagai pihak bagi mendorong rundingan damai.