China Bimbang dengan Kemusnahan Empangan Kakhovka

2023-06-07 13:12:28  CRI
Share with:

Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Zhang Jun menyatakan kebimbangan serius China mengenai kemusnahan empangan Loji Kuasa Hidroelektrik Kakhovka di Kherson, Ukraine.

Duta China itu menggesa pihak yang terbabit supaya kekal bersabar dan menyambung semula rundingan.

“Kami (China) amat bimbang dengan kesan kejadian itu dari segi kemanusiaan, ekonomi dan ekologi.

“Semua pihak yang terlibat diseru mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta melindungi orang awam dan infrastruktur awam,” kata beliau ketika berucap pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung kerosakan empangan berkenaan.

Zhang turut menyatakan China akan sedaya upaya menyediakan bantuan secukupnya dalam usaha memindahkan orang awam.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Martin Griffiths berkata, sebagai tindak balas, PBB telah pun meningkatkan operasi untuk menangani kesan kejadian, termasuk memberikan bantuan segera kepada lebih 16,000 orang yang terjejas.