Program Pertukaran Pelajar Simbol Pengukuhan Persahabatan China, Malaysia

2023-06-11 13:04:55  CRI
Share with:

Keakraban persahabatan antara China dan Malaysia diperkukuhkan menerusi program pertukaran pelajar dinamakan sebagai “Silk Road in Chang’an: Build A Dream Future 2023” yang berlangsung di Xi’an pada 3 hingga 5 Jun.

Program itu direncanakan sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia pada tahun ini, serta sambutan ulang tahun ke-49 hubungan diplomatik China-Malaysia pada 31 Mei 2023.

Seramai 15 orang pelajar China dari universiti-universiti di Xi’an, serta 15 orang pelajar Malaysia yang menuntut di China dipilih untuk menyertai program berkenaan, yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan.

Di samping memberi pendedahan kepada sejarah hubungan diplomatik antara Xi’an dengan Melaka menerusi pelayaran Laksamana Cheng Ho, pelajar Malaysia turut diperkenalkan dengan sejarah peradaban China, selain sesi dialog antara pelajar kedua negara tentang persamaan budaya, bagi merapatkan lagi hubungan persahabatan antara rakyat China dan Malaysia.

Pelajar China turut diperkenalkan dengan landskap pendidikan tinggi di Malaysia untuk menggalakkan mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan pendidikan tinggi bagi program pasca graduan kelak.

Program itu juga memperlihatkan sinergi menerusi gabungan kerjasama antara kerajaan bandar Xi'an dengan Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Xi’an, serta Pejabat Education Malaysia Beijing.