Honduras Buka Kedutaan di China
Honduras membuka kedutaannya di China secara rasmi pada Ahad dan acara pembukaan itu disempurnakan bersama oleh Menteri Luar Honduras, Eduardo Enrique Reina dan Menteri Luar China, Qin Gang.
Mewakili kerajaan China, Qin menzahirkan penghargaan terhadap Honduras dan menyatakan bahawa kedua-dua negara telah menjalin hubungan diplomatik berdasarkan prinsip satu China sejak lebih dua bulan lalu.
Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat rakyat kedua-dua negara, sekali gus mencipta era baharu hubungan China-Honduras.
"Sejak dua bulan lalu, kedua-dua pihak telah memenuhi komitmen masing-masing dalam jalinan hubungan diplomatik dan mempergiat permulaan hubungan dua hala.
"Perkembangan pesat hubungan China-Honduras membuktikan bahawa berpegang kepada prinsip satu China adalah konsensus antarabangsa, selaras dengan arus sejarah, dan aspirasi rakyat dunia," ujar Qin.
Menurut beliau, lawatan rasmi Presiden Xiomara Castro ke China ketika ini membawa makna amat signifikan.
"Pertemuan antara Presiden Xi Jinping dan Presiden Castro pasti akan membawa hubungan dua hala ke tahap baharu dan mewujudkan perkembangan baharu.
"China bersedia untuk terus mengintensifkan kerjasama saling menguntungkan dengan Honduras dalam pelbagai bidang, dan menjadikan hubungan China-Honduras antara model baharu kerjasama persahabatan antara negara yang berbeza skala, situasi dan sistem negara," tambah Qin.
Reina dalam ucapannya pula berkata bahawa penubuhan hubungan diplomatik antara Honduras dengan China membuka era baharu hubungan negara itu dengan dunia, selain membuka pintu ke sebuah negara besar yang makmur dan membangun.
Beliau menegaskan, Honduras akan berpegang teguh pada prinsip satu China.