ASEAN Dikhianat oleh AUKUS

2023-06-14 16:51:04  CRI
Share with:

Sabtu lalu Satria berpeluang sepentas dengan Prof Dr Mohd Mizan dari Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam program Agenda AWANI Asia.

 

Satria agak tertarik dengan kenyataan Prof Mizan yang memberitahu bahawa ASEAN dikhianat oleh AUKUS sebab ia jelas bercanggah dengan usaha ASEAN untuk bebas daripada nuklear.

 

Perjanjian AUKUS buat pertama kalinya mencipta satu duluan (set precedent), iaitu menjual kapal selam nuklear kepada negara yang tidak memiliki senjata nuklear. Tapi, pihak Amerika Syarikat (AS) menyatakan dalam Dialog Shangri-la baru-baru ini bahawa ia bertujuan untuk memelihara kestabilan dan kedamaian di Asia Pasifik.

 

Untuk rekod, uranium untuk digunakan dalam kapal selam AS dan Britain diperkaya hingga melebihi 90%, iaitu bertaraf senjata nuklear.

 

Pada Februari, IAEA iaitu badan pemantau nuklear global telah menemui zarah uranium yang diperkaya pada tahap ketulenan 83.7%, atau dengan kata lainnya sangat hampir dengan gred senjata di tapak Fordo bawah tanah Iran.

 

Bagaimanapun, kita semua tahu yang Iran telah dikenakan sekatan antarabangsa sejak sekian lama. Namun, kali ini Amerika Syarikat dan Britain pula mahu menyediakan uranium yang boleh digunakan untuk mengeluarkan lebih 100 bom nuklear kepada Australia.

 

Berbanding pengkhianatan dari Barat, pihak China telah menyatakan bersedia memeterai Perjanjian Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara ketika Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn melawat China pada Mac.

 

Sejak Perjanjian Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara disediakan, ASEAN aktif berusaha mengundang AS, Rusia, China, Britian dan Perancis sebagai kuasa besar yang memiliki senjata nuklear untuk memeterai perjanjian tersebut supaya menjamin keselamatan di rantau ini.

 

Setakat ini, hanya China menyatakan bersedia menyokong usaha ASEAN.

 

Bersuara lantang memelihara kestabilan dan kedamaian serantau, tapi bertingkah laku meningkatkan risiko perang nuklear, itulah janji Barat yang mengutamakan peranan ASEAN dalam kerjasama serantau.

 

Tingkah laku yang jelas bertentangan dengan janji tersebut juga jelas dilihat dalam bidang kerjasama ekonomi.

 

Sasaran Komuniti ASEAN adalah untuk mewujudkan pembangunan bersama dan selaras antara pelbagai negara anggota.

 

Akan tetapi, CPTPP yang dulu dianjurkan oleh AS hanya melibatkan Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam, manakala IPEE yang kini dianjurkan oleh AS bersama India juga mengecualikan Laos, Myanmar dan Kemboja yang dilihat ketinggalan dan akan menjadi gangguan pembangunan mereka.

 

Manakala China menganjurkan Mekanisme Kerjasama Lancang-Mekong selain kerjasama China-ASEAN, khusus membantu kemakmuran bersama beberapa negara di aliran sungai Mekong, sekali gus menyokong pembangunan Komuniti ASEAN.