Kerjasama China-Honduras Seperti Cendawan Tumbuh pada Musim Hujan
Honduras sebagai satu negara strategik di rantau Amerika Tengah, merupakan “sahabat baharu” bagi China setelah kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik berdasarkan prinsip Satu China pada 26 Mac tahun ini, yang sekali gus menjadikan Honduras negara ke-182 yang berhubungan diplomatik dengan China.
Belum genap tiga bulan sejak terjalinnya hubungan diplomatik dengan China, Presiden Honduras terus memilih memulakan lawatan ke negara Tembok Besar ini. Menyentuh mengenai masa hadapan hubungan kedua-dua negara, Menteri Luar Honduras, Eduardo Enrique Reina mengibaratkannya sebagai sebatang “pokok tinggi” yang sedang bertumbuh cepat dan stabil sambil membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Prinsip Satu China merupakan prasyarat dan asas politik bagi hubungan kedua-dua negara. Presiden China Xi Jinping menegaskan sekali lagi prinsip tersebut tatkala mengadakan perbincangan dengan Presiden Xiomara Castro yang turut membuat komitmen bahawa pihaknya akan mematuhi prinsip Satu China di samping menyokong usaha dilakukan kerajaan China dalam memperjuangkan penyatuan semula tanah air. Inilah satu lagi bukti prinsip Satu China yang termaktub dalam resolusi No.2758 Perhimpunan Agung PBB 1971 diiktiraf umum dalam masyarakat antarabangsa.
China dan Honduras yang berbulan madu setelah terjalinnya hubungan diplomatik, terus menyaksikan perkembangan hubungan bilateral yang pesat seperti cendawan tumbuh pada musim hujan. Menurut statistik Kastam Negara China, Honduras merupakan antara tiga negara teratas dalam senarai peningkatan sumber pengimportan China pada 4 bulan pertama tahun ini.
Rancangan yang digariskan oleh pemimpin kedua-dua negara bagi pembangunan hubungan bilateral dijangka akan cepat diterjemahkan melalui kerjasama substantif dalam bidang ekonomi, perdagangan dan interaksi sosiobudaya demi pembangunan bersama serta manfaat rakyat kedua-dua negara.
Sektor korporat Honduras yakin pada udang, tembikai manis dan kopi hasilan negaranya yang dijangka akan mendapat sambutan baik dalam pasaran China, manakala syarikat China dialu-alukan mengambil bahagian dalam penerokaan ekonomi negara itu melalui pelaburan.