China Seru Lindungi Hak dan Kepentingan Rakyat Afghanistan

2023-06-20 15:31:07  CRI
Share with:

China menyeru supaya bantuan kemanusiaan dan pembangunan terus disalurkan kepada Afghanistan dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi dan menambah baik kesejahteraan rakyat negara itu.

Memetik ucapan wakil China ketika sesi ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Isnin, usaha juga perlu diteruskan untuk menggalakkan pentadbiran Afghanistan yang sederhana dan stabil menerusi dialog dan komunikasi.

China turut berharap agar Taliban Afghanistan dan pihak-pihak terbabit dapat menyelesaikan isu berkaitan perlindungan hak dan kepentingan golongan wanita menerusi perundingan.

Menurut wakil China itu, amalan merampas aset Afghanistan secara terang-terangan telah memburukkan lagi penderitaan rakyat negara itu termasuk wanita dan kanak-kanak.

Justeru, masyarakat antarabangsa perlu melihat pelbagai cabaran didepani Afghanistan secara menyeluruh, objektif serta dari sudut sejarah, dan memastikan hak dan kepentingan seluruh rakyat Afghanistan diberi perlindungan yang berkesan.