China Bantu Negara Lain Wujudkan Pembangunan Bersama

2023-06-22 13:15:30  CRI
Share with:

"Kami berpeluang melihat hasil penggunaan teknologi Juncao dalam pembangunan di kawasan luar bandar di sini. Teknologi Juncao amat berpotensi dan penuh harapan." kata pegawai kanan dari Papua New Guinea, Peter Gare ketika mengunjungi provinsi Fujian, China mutakhir ini.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mempromosi penggunaan teknologi Juncao di negaranya.

Untuk rekod, teknologi Juncao yang dibangunkan China ialah teknologi pembiakan kulat menggunakan tumbuhan herba, dan kini telah disebarkan ke 106 negara dan wilayah di dunia, sekali gus menawarkan satu kaedah pembangunan kepada negara-negara terbabit, khususnya ke arah mewujudkan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Dalam Laporan Kemajuan Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global yang diumumkan China pada 20 Jun lalu, projek pembasmian kemiskinan melalui teknologi Juncao tersenarai, menyaksikan usaha China untuk memperkasakan pembangunan bersama sejagat.

Pada September tahun 2021, Presiden China Xi Jinping mengemukakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) pada sesi perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-76, menumpukan lapan bidang kerjasama utama dan mendapat sokongan daripada lebih 100 negara dan pertubuhan antarabangsa.

Pada Jun 2022 pula, Presiden Xi ketika mempengerusikan sesi dialog pembangunan global peringkat tinggi, memberikan huraian tentang pelaksanaan GDI oleh China dalam 32 langkah pragmatik.

Menurut laporan tersebut, separuh projek itu telah diselesaikan dan membuahkan hasil peringkat awal. Projek-projek tersebut menggembleng tenaga dari masyarakat antarabangsa dan membawa sinar harapan kepada mereka yang inginkan pembangunan.

Pada zaman digital ini, banyak negara membangunan hendak menggalakkan pembangunan melalui teknologi digital. Pembangunan bukanlah paten, tetapi hak semua insan.

GDI mendapat sambutan meluas di dunia kerana ia mencerminkan konsensus umat manusia untuk membangun.

China tidak lokek untuk menghulurkan bantuan kepada negara lain untuk mewujudkan pembangunan bersama.