Jepun Digesa Tangani Air Tercemar Nuklear dengan Selamat

2023-06-23 15:33:00  CRI
Share with:

China menggesa Jepun agar menangani keprihatinan rasional masyarakat antarabangsa, mengendalikan air tercemar nuklear dengan paling selamat secara terbuka dan telus.

Wakil China menyatakan demikian ketika berucap pada sesi ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Khamis.

Menurutnya, Jepun dengan degil ingin melepaskan air tercemar nuklear ke laut, dan tindakan ini menyalahi tanggungjawab dalam Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Setakat ini, Jepun tidak dapat membuktikan pelepasan air tercemar nuklear adalah selamat dan tidak berbahaya. Data yang dikeluarkan Jepun juga mendapati bahawa hampir 70 peratus air tercemar nuklear yang sudah dirawat masih belum memenuhi piawaian.

Wakil China menegaskan bahawa pelepasan air tercemar nuklear Jepun bukanlah urusan negara itu sahaja, ia berkait rapat dengan ekologi alam sekitar dunia dan hak kesihatan rakyat pelbagai negara.

Jepun digesa memandang dengan betul bantahan tegas dari dalam dan luar negara serta keprihatinan masyarakat antarabangsa, melaksanakan dengan ikhlas tanggungjawabnya, menangani air tercemar nuklear dengan cara yang paling selamat.