Katakan Tidak kepada Amalan 'Cantas Hubungan'

2023-06-26 15:26:28  CRI
Share with:

Perdana Menteri China, Li Qiang pulang ke Beijing pada Sabtu selepas mengakhiri lawatan rasmi selama seminggu ke Jerman dan Perancis.

Semasa sesi interaksi dengan tokoh politik dan ahli perniagaan dari dua negara itu, Li menegaskan bahawa pembangunan China membawa peluang kepada dunia, bukan risiko.

Dalam pada itu, pemimpin Jerman dan Perancis lantang menyuarakan pendirian menolak amalan 'mencantas hubungan' dan menentang sebarang bentuk konfrontasi sesama blok.

Berdepan situasi antarabangsa yang kompleks, China dan Kesatuan Eropah (EU) mencapai kesepakatan untuk memantapkan hubungan dan memperluas kerjasama, sekali gus membawa elemen kepastian kepada dunia.

Lawatan PM Li ke benua Eropah kali ini menyampaikan mesej jelas bahawa China mendukung globalisasi ekonomi, trend ekonomi China yang berkembang baik dalam jangka panjang tidak akan berubah, dan kerjasama China-EU yang saling menguntungkan memiliki prospek cerah.

Canselor Jerman Olaf Scholz menyatakan negaranya mengalu-alukan pembangunan dan kemakmuran China, manakala Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne pula memuji komitmen China untuk memperluas keterbukaan.

Kenyataan seumpama bukan sekadar menyuntik penggerak kepada kolaborasi EU-China, malah menggalakkan EU mempamerkan sikap rasional dan pragmatik ketika mengendalikan hubungan dengan China.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 perkongsian strategik komprehensif China-EU.

Adalah normal wujudnya pandangan yang berlainan dalam sesetengah isu susulan perbezaan kedua-dua pihak dari segi sejarah, budaya, tahap pembangunan dan ideologi.

Namun begitu, tiada perselisihan berkaitan kepentingan asas antara China dengan EU, sebaliknya kedua-dua pihak menunjukkan hasrat kuat untuk memantapkan lagi kerjasama.