Hungary: China Bawa Peluang Besar Dalam Kerjasama Saling Untung

2023-06-27 15:14:27  CRI
Share with:

Menteri Luar Hungary, Szijjarto Peter menyifatkan China sebagai rakan kerjasama dan sebuah negara yang membawa peluang besar dalam kerjasama saling untung.

“Saya berpendapat bahawa Hungary tidak akan menjadi pesaing dengan China dalam sebarang bidang.

"Justeru, berbanding dengan berbincang mengenai persaingan, risiko atau ancaman, kami (Hungary-China) sepatutnya membincangkan kaedah kerjasama dan memanfaatkan kelebihan masing-masing," ujar beliau.

Ketika diwawancara secara eksklusif oleh Kumpulan Media China (CMG), Peter turut mengimbau kembali prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejagat yang disumbang Kesatuan Eropah (EU) dan China pada 2010 iaitu masing-masing sebanyak 22 dan 9 peratus.

"Menginjak ke tahun 2022, nisbah China dalam KDNK sejagat meningkat ke 18 peratus, manakala EU pula direkodkan sebanyak 17 peratus.

“Kita tidak sepatutnya melihat China sebagai ancaman atau risiko, sebaliknya menjalankan kerjasama dengan China untuk membangun bersama,” kata beliau

Peter turut menyatakan bahawa pihaknya mampu membuktikan kerjasama dengan China membawa banyak faedah, berbanding melihat China sebagai ancaman atau risiko.

Jelasnya, kedua-dua negara ini juga terus mengekalkan hubungan perkongsian berdasarkan prinsip saling menghormati.

"Kami (Hungary) amat bangga kerana menjadi destinasi pelaburan terbesar bagi syarikat China di rantau Eropah Tengah dan China sudah menjadi sumber pelaburan paling besar bagi Hungary pada beberapa tahun secara berturut-turut.

“Banyak syarikat besar China memutuskan untuk melabur di Hungary.

"Syarikat CATL (Contemporary Amperex Technology Co., Limited) merupakan pengeluar bateri untuk kegunaan BEV (kenderaan elektrik bateri) yang terbesar di dunia, dan pelaburan Greenfield daripada CATL yang berskala paling besar dalam sejarah Hungary pula akan turut disempurnakan kelak," tambah Peter.

Menurut beliau, terdapat banyak syarikat BEV China sedang menjadikan Hungary sebagai tapak untuk membina kilang pengeluarannya di Eropah.

“Kami tidak memahami apa yang disebut sebagai ‘cantas hubungan’ atau ‘nyah-risiko’.

"Kami sentiasa positif untuk mewujudkan kerjasama saling untung dan menang bersama melalui kerjasama dengan China, (dan) kami akan mengekalkan kerjasama ini pada masa depan,“ tambah Peter.