PM China, Vietnam Adakan Pertemuan Empat Mata

2023-06-27 14:56:37  CRI
Share with:


Perdana Menteri China, Li Qiang menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Vietnam, Phạm Minh Chính di Dewan Besar Rakyat pada Isnin.

Li dalam ucapannya berkata hubungan baik China-Vietnam berjaya mengekalkan trend positif melalui kepimpinan kedua-dua Presiden negara ini.

"Tahun ini merupakan ulang tahun ke-15 hubungan rakan kerjasama strategik komprehensif China-Vietnam.

"China bersedia bekerjasama dengan Vietnam untuk bersama-sama merancakkan pembinaan dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memanfaatkan mekanisme jawatankuasa panduan kerjasama dua hala China-Vietnam, di samping mendorong kerjasama dalam bidang penguatkuasaan keselamatan, ekonomi, perdagangan, pelaburan, sains, pendidikan, kebudayaan dan kesihatan," ujar beliau.

Li turut menyarankan agar kedua-dua pihak untuk segera membincangkan rancangan kerjasama meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan BRI dengan “dua koridor dan satu lingkaran”, meneroka potensi pengangkutan kereta api kedua-dua negara, serta mempergiat projek penyambungan landasan standard sempadan.

Tambahnya, China dan Vietnam juga perlu mendorong penaiktarafan kastam serta kesalinghubungan fasiliti, memperluas kerjasama sektor perdagangan produk pertanian, pelaburan dan sumber tenaga, menambah laluan penerbangan langsung, selain mengintensifkan interaksi kebudayaan, pelancongan, pendidikan dan belia.

Li juga menzahirkan harapan untuk melihat kerajaan Vietnam terus membentuk persekitaran urus niaga yang baik bagi syarikat China di negara itu.

"China juga bersedia bersama Vietnam untuk melaksanakan fahaman multilateralisme yang sebenar, meningkatkan penyelarasan dalam pelbagai agensi multi pihak seperti PBB, mengintensifkan kerjasama dalam kerangka China-ASEAN, Sungai Lancang-Sungai Mekong," ujarnya lagi.

Menurut Li, China turut mahu bersama-sama Vietnam untuk mengendalikan perselisihan melalui dialog dan rundingan, mendorong kerjasama maritim, mempercepat rundingan “Kod Tingkah Laku Laut China Selatan” (COC),  serta mengelakkan tindakan yang boleh merumitkan situasi.

Minh Chính dalam ucapannya pula berkata, pembangunan China telah memberi sumbangan penting bagi kestabilan serta kemakmuran serantau dan dunia.

"Vietnam memegang dasar Satu China, menyokong dan menyertai inisiatif pembinaan bersama BRI dan Inisiatif Pembangunan Global (GDI).

"Vietnam bersedia bersama-sama China untuk meningkatkan interaksi dan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pembinaan infrastruktur, kesihatan, sains teknologi dan sosiobudaya, sekali gus mengintensifkan penyelarasan multi pihak sehingga merealisasikan pembangunan dan kemakmuran bersama," kata beliau.

Minh Chinh juga telah menyatakan kesediaan Vietnam untuk bersama-sama China dalam usaha mengawal perselisihan secara harmoni bagi melindungi keamanan dan kestabilan maritim.

Perdana menteri dari kedua-dua negara ini juga bersama-sama menyaksikan penandatanganan dokumen kerjasama bilateral yang melibatkan kerjasama maritim, pemantauan dan kawalan pasaran serta pembinaan kastam selepas pertemuan tersebut.