Perhubungan China dengan Dunia Didukung Pedoman Lebih Lengkap

2023-07-01 16:00:30  CRI
Share with:


Undang-undang mengenai Hubungan Luar Negeri Republik Rakyat China yang berkuat kuasa pada 1 Julai, menyediakan pedoman yang lebih sempurna untuk pergaulan China dengan dunia.

Penggubalan undang-undang itu bertujuan memperincikan pendirian dan saranan China mengenai perhubungan luar, menyempurnakan sistem keinstitusian berkaitan, di samping mempamerkan komitmen China menjunjung kedamaian, pembangunan, kerjasama dan situasi menang-menang.

Usaha menggalakkan hubungan muhibah antara perkara yang diberi keutamaan dalam undang-undang itu. Hal ini dapat dilihat dengan termaktubnya lebih 20 isi kandungan berkaitannya termasuk ‘pertukaran dan kerjasama’, ‘hubungan muhibah’ dan ‘kerjasama antarabangsa’.

Undang-undang itu juga memperlihatkan iltizam teguh China untuk memperluas keterbukaan, sekali gus memberi penekanan mengenai pembinaan bersama dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) ke arah berkualiti tinggi, mempertahankan sistem perdagangan multilateral, menentang unilateralisme dan fahaman perlindungan, serta mendorong ekonomi dunia yang terbuka.

Di samping itu, ia juga dianggap sebuah undang-undang untuk melindungi kedaulatan serta kepentingan keselamatan dan pembangunan negara.

Menurut fasal daripada undang-undang itu, China berhak mengambil tindakan balas dan sekatan yang setimpal ke atas amalan yang melanggar undang-undang dan norma asas hubungan antarabangsa, atau menjejaskan kedaulatan serta kepentingan keselamatan dan pembangunan negara.

Menurut penganalisis, fasal berkenaan telah menyediakan rujukan undang-undang kepada China untuk melaksanakan hak menentang perbuatan sekatan, campur tangan serta kawalan 'lengan panjang', dan ia juga berfaedah bagi melindungi keadilan antarabangsa dengan lebih baik.

Undang-undang baharu itu turut memperlihatkan komitmen China menjunjung piagam dan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta pendirian konsisten untuk mempertahankan sistem antarabangsa berteraskan PBB dan orde berasaskan undang-undang antarabangsa.