Lagu Bahagia di Perkampungan Etnik Lahu

2023-07-03 17:03:03  CRI
Share with:

Terletak di kawasan pergunungan provinsi Yunnan di barat daya China, Laodabao merupakan perkampungan bagi kelompok etnik Lahu dengan sekitar 500 populasi di situ bekerja sebagai petani.

Li Naluo, 40, menjadi fokus di kampung itu dan ia bermula pada 2002 apabila beliau bersama-sama anggota keluarganya menubuhkan rombongan kesenian Ya'e Laodabao.

Pada waktu siang, Li akan membanting tulang di ladang, dan akan mengajar penduduk menyanyi, menari serta bermain gitar menjelang waktu malam.

Dengan usaha gigihnya, lebih 100 orang penduduk mahir bermain gitar. Pada 2005, Li mengetuai rombongan kesenian itu menghidangkan persembahan bukan sahaja di kota-kota besar, malah juga di pentas stesen televisyen negara.

Pada 2013, beliau membantu kampungnya menubuhkan syarikat seni persembahan dan kesemua penghuni di kampung itu diangkat menjadi pekerja dalam syarikat tersebut.

Dengan tertubuhnya syarikat itu, ia sekali gus membolehkan penduduk untuk mencari rezeki di kampung sendiri dan tidak perlu pergi ke tempat-tempat yang jauh.

Persembahan nyanyian dan tarian etnik Lahu yang penuh semangat serta riang gembira berjaya menarik kedatangan ramai pelancong.

Bahkan, angka mereka yang mengetahui dan berminat tentang budaya etnik Lahu juga semakin bertambah dari masa ke masa.

Kini, kampung itu berusaha mengembangkan industri pelancongan tani dan menyediakan inap desa, sementara Li dan rakan-rakannya turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan kehidupan yang bahagia di kampung mereka dengan lagu-lagu gembira.