Qu Dongyu Dipilih Semula sebagai Ketua Pengarah FAO

2023-07-03 15:31:41  CRI
Share with:

ROM, 3 Julai -- Penyandang kerusi Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Qu Dongyu berjaya mengekalkan jawatan itu untuk empat tahun lagi selepas diundi dengan majoriti tinggi ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung ke-43 FAO di Rom, pada Ahad.

Mengikut prosedur, pemilihan tersebut dijalankan melalui undian tanpa nama, disertai 182 negara anggota.

Qu yang pertama kali dipilih sebagai Ketua Pengarah FAO pada Jun 2019 itu memperoleh 168 undi pada kali ini dan akan memulakan penggal baharunya pada 1 Ogos.

Sepanjang empat tahun ini, FAO yang diterajui oleh Ketua Pengarah pertama dari China itu telah berjaya menangani cabaran keselamatan makanan global dengan melaksanakan reformasi seperti pengoptimuman struktur pengurusan, pengembangan fungsi baharu, dan mengadaptasi model perniagaan baharu.

Kejayaan tersebut secara tidak langsung menyokong transisi sistem pertanian dan makanan global, serta memacu pelaksanaan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan, yang mendapat pengiktirafan meluas oleh negara-negara anggota.

Ditubuhkan pada 1945 dan beribu pejabat di Rom, FAO ialah agensi pertanian khusus dalam sistem PBB dan berperanan penting dalam pertukaran dasar pertanian dan makanan global, penetapan piawaian, serta statistik.

Untuk rekod, FAO telah melaksanakan hampir 500 projek domestik, serantau dan antarabangsa di China, iaitu salah satu negara pengasas FAO.

Pada masa sama, China juga telah bertindak aktif dalam memenuhi tanggungjawab sebagai negara anggota, dengan menyertai dan menyokong pelbagai aktiviti FAO.