Argentina Bayar Hutang Luar dengan RMB Kondusif bagi Kerjasama dengan China

2023-07-04 13:51:09  CRI
Share with:

Pada 30 Jun waktu tempatan, Argentina melunaskan hutang luar sebanyak USD2.7 bilion (RM12.59 bilion) kepada IMF yang sudah sampai tempoh dengan menggunakan Hak Pengeluaran Khas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan kaedah penjelasan untuk dagangan dalam RMB. 

Ini adalah kali pertama Argentina menggunakan RMB untuk membayar hutang luarnya. Sehari sebelumnya, bank pusat Argentina mengumumkan bahawa RMB disenaraikan sebagai mata wang yang boleh disimpan dan dikeluarkan dalam sistem perbankan negaranya, selain memberi kelulusan pembukaan akaun RMB dalam institusi kewangan. Gabenor bank pusat Argentina, Miguel Ángel Pesce berkata, "Sama seperti banyak negara lain di dunia, Argentina sentiasa bersikap optimis terhadap pengantarabangsaan RMB."

Sejak tahun ini, kerjasama China-Argentina dalam bidang kewangan semakin dipercepatkan. Argentina membayar produk import dari China dengan menggunakan RMB bermula bulan April. Pada awal Jun pula, Argentina mengemaskinikan perjanjian pertukaran mata wang yang bernilai RMB130 bilion (RM83.7 bilion) dengan China dan meningkatkan had penggunaan secara bebas daripada RMB35 bilion (RM22.54 bilion) kepada RMB70 bilion (RM 45 bilion). Seterusnya, Suruhanjaya Sekuriti Nasional Argentina meluluskan penerbitan produk sekuriti yang boleh diperdagangkan melalui transaksi RMB dalam pasaran tempatan.

Kerjasama China-Argentina dalam bidang kewangan boleh disifatkan saling menguntungkan. Bagi Argentina, peningkatan penggunaan RMB kondusif bagi membantu menyelesaikan masalah domestik yang paling mendesak, iaitu kekurangan simpanan dolar AS dalam bilangan besar untuk membayar hutang luar, mengurangkan tekanan ke atas rizab pertukaran asing domestik, selain mengekalkan kerancakan ekonomi negaranya.

Bagi China pula, pelaksanaan 'currency swap' dengan Argentina juga membawa keuntungan. Dalam konteks Argentina berkurangan simpanan dolar AS, transaksi dengan menggunakan RMB dalam perdagangan China-Argentina dapat memastikan pengeksportan China ke Argentina terjamin. Manakala kaedah pembayaran hutang luar dengan menggunakan RMB pula dapat membantu Argentina mengelakkan diri daripada terjerumus dalam risiko yang gagal membayar hutang luarnya, mengekalkan kestabilan ekonomi makro di negaranya dan meningkatkan keyakinan pasaran. Prestasi ekonomi Argentina yang stabil adalah mustahak bagi kerjasama China-Argentina dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Di samping itu, tindakan-tindakan Argentina yang menyenaraikan RMB sebagai mata wang yang boleh disimpan dan dikeluarkan dalam sistem perbankan negaranya, memberi kelulusan pembukaan akaun RMB dalam institusi kewangan dan penjelasan bon dengan menggunakan RMB pula kondusif bagi perusahaan China meningkatkan pelaburan di Argentina, mengurangkan kos pembiayaan dan pengoperasian, serta merancakkan landskap urusniaga.