China-Vietnam Setuju Tingkatkan Kerjasama Minyak, Gas di LCS

2023-07-07 15:34:28  CRI
Share with:

BEIJING, 7 Julai -- China dan Vietnam bersama-sama mempengerusikan Perundingan Kumpulan Kerja Wilayah Lautan di Luar Teluk Beibu pusingan ke-16 dan Perundingan Kumpulan Kerja Penerokaan Bersama di Laut pusingan ke-13 di Guangzhou pada Selasa.

Sesi tersebut telah diterajui oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sempadan dan Maritim Kementerian Luar China, Yang Renhuo dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sempadan Kementerian Luar Vietnam, Trinh Duc Hai.

Ia yang buat pertama kalinya diadakan secara bersemuka sejak wabak COVID-19 melanda itu turut disertai oleh wakil dari jabatan yang berkaitan dari kedua-dua negara.

Pada sesi tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua parti dan negara serta Perjanjian Prinsip Asas Penyelesaian Isu Maritim antara China dan Vietnam, mempercepat penggarisan sempadan wilayah laut di luar Teluk Beibu dan penerokaan bersama minyak dan gas di Laut China Selatan (LCS).

China dan Vietnam juga bersetuju untuk saling menghormati keutamaan masing-masing, berjalan sehaluan, dan berusaha untuk mencapai kemajuan sebenar sesegera mungkin.

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pendapat mengenai isu-isu lain yang berkaitan dengan laut, dan bersetuju untuk mempercepat penandatanganan perjanjian kerjasama perikanan baharu di Teluk Beibu, memajukan kerjasama minyak dan gas di wilayah laut yang tidak dipertikaikan, dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada perkembangan hubungan antara kedua-dua parti dan negara.