Saling Untung dan Sama Menang Mustahak bagi Hubungan China-AS
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen mengakhiri lawatan empat harinya di China pada Ahad. Kedua-dua pihak menzahirkan kesediaan untuk meningkatkan komunikasi dan kerjasama. Pegawai China menegaskan bahawa menggeneralisasikan keselamatan negara tidak bermanfaat kepada hubungan ekonomi dan perdagangan yang normal. Di samping itu, Yellen menegaskan bahawa pihaknya tidak berniat untuk “putus hubungan” dengan ekonomi China dan berjanji akan mewujudkan “saling menguntungkan dan sama menang” dalam hubungan ekonomi kedua-dua negara.
Yellen merupakan pegawai kanan kedua AS yang melawat China berikutan lawatan Setiausaha Negara, Antony Blinken sebulan lalu.
Menurut isyarat yang dikeluarkan kedua-dua pihak, lawatan Yellen kali ini membolehkan kedua-dua negara memahami keprihatinan antara satu sama lain dengan lebih mendalam dan menyeluruh. Pada masa sama, kedua-dua pihak juga menyatakan kesediaan untuk meneruskan dialog. Ini mengurangkan kebimbangan masyarakat antarabangsa pada tahap tertentu. Ada media asing menyifatkan ia sebagai “langkah positif”.
Sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara China dan AS lebih 40 tahun, kerjasama ekonomi dan perdagangan selalu menjadi pengukuh dan penggerak bagi hubungan dua hala.
Walau bagaimanapun, perang perdagangan yang dicetuskan sepihak oleh AS pada Mac 2018 memberikan tempias teruk kepada kerjasama tersebut. Sejak Joe Biden mengambil alih pemerintahan, kerajaannya meneruskan malah memperhebat kekangan terhadap China.
Pada November 2022, pemimpin China dan AS mencapai konsensus penting semasa mengadakan rundingan di Bali, Indonesia. Lawatan Yellen ke China kali ini dianggap langkah konkrit untuk melaksanakan konsensus pemimpin tersebut dan meningkatkan komunikasi dan pertukaran kedua-dua negara dalam bidang kewangan.
China sedang memperkasakan pembinaan modeniasai ala China pada masa ini dan bersedia meningkatkan kerjasama serta mendorong pembangunan bersama dengan pelbagai negara di dunia termasuk AS.
Bagi AS, China mempunyai pasaran gergasi, dan kerjasama dengan China bermanfaat bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan mengawal inflasi di AS.
Dengan memahami hakikat kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan AS, barulah AS boleh memikirkan bagaimana membawa manfaat yang benar kepada negara dan rakyatnya.