Mongolia Mahu Kerjasama dengan China Terus Intensif

2023-07-10 13:10:32  CRI
Share with:

China merupakan negara perdagangan terbesar bagi Mongolia selama beberapa tahun berturut-turut, dengan nilai dagangan dua hala pada 2021 dan 2022 melepasi paras USD10 bilion (RM46.66 bilion).

Perdana Menteri Mongolia, Luvsannamsrai Oyun-Erdene berkata kedua-dua pihak telah melaksanakan yang terbaik dalam sektor itu.

Menurut beliau, aktiviti seperti Forum Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan China-Mongolia serta acara promosi pelancongan 'Welcome to Mongolia' berjaya menarik penyertaan banyak perusahaan.

"Ia sekali gus mencerminkan hubungan saling percaya yang baik antara rakyat dan perusahaan kedua-dua pihak," kata Oyun-Erdene ketika diwawancara secara eksklusif oleh Kumpulan Media China (CMG) di sini, baru-baru ini.

Bercakap tentang kaedah memperkasakan kerjasama dua hala, Oyun-Erdene menzahirkan harapan agar kerajaan kedua-dua negara dapat menyediakan asas yang baik kepada pertukaran lawatan kalangan rakyat dan kerjasama korporat.

"Misalnya adalah untuk meningkatkan tahap pembinaan infrastruktur dengan cepat. China merupakan rakan dagang dan ekonomi utama bagi Mongolia.

"Maka, kita (Mongolia-China) perlu mempertingkat kecekapan urusan di pintu sempadan. Sekarang kami hanya ada pintu sempadan di Zamyn-Uud yang berhubung dengan China melalui landasan kereta api.

"Kami merancang menambah pintu sempadan seperti itu kepada empat buah dalam tempoh satu hingga dua tahun," ujar beliau.

Oyun-Erdene berkata, pihaknya juga telah berbincang dengan Tianjin Port Group (pelabuhan terdekat dengan Mongolia) mengenai urusan eksport sumber tenaga Mongolia ke negara lain melalui pengangkutan laut serta pemerkasaan kerjasama kedua-dua pihak.

Menyentuh mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), beliau menyifatkannya sebagai sangat penting kepada Mongolia berikutan negara itu dikelilingi daratan serta amat bergantung pada pengangkutan kereta api.

"BRI merupakan projek yang menghubungkan rantau ini bahkan dunia antaranya termasuk Eurasia, dan Dasar Kebangkitan Baharu yang dilaksanakan Mongolia tertumpu kepada pembangunan pintu sempadan," tambah Oyun-Erdene.

Jelas beliau, rangka lawatannya ke Beijing kali ini turut banyak menyentuh aspek pintu sempadan dan ia secara tidak langsung mencerminkan keaktifan Mongolia terlibat dalam BRI.