Ingin Kacaukan Asia-Pasifik untuk 'Panjangkan Hayat', Muslihat NATO Pasti Sia-sia Sahaja

2023-07-12 14:44:45  CRI
Share with:

Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) diadakan di Vilnius, Lithuania pada Isnin. Peluasan NATO ke rantau Asia Pasifik sekali lagi menjadi tumpuan ekoran penyertaan pemimpin empat negara ke sidang kemuncak itu, iaitu Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand untuk tahun kedua. 

Menurut laporan media Jepun, agenda tentang pembukaan pejabat perhubungan NATO pertama di rantau Asia di Jepun terpaksa ditunda ke persidangan pada musim luruh ini kerana bantahan keras pihak Perancis. Namun penganalisis berpendapat bahawa diketuai oleh Amerika Syarikat (AS), rancangan NATO untuk melebarkan sayap ke rantau Asia-Pasifik tidak akan berubah.

Sebagai tinggalan Perang Dingin, NATO merupakan tonggak bagi Washington untuk memelihara hegemoninya. Mengimbas kembali sejarah, NATO yang diketuai AS mencetuskan krisis di Asia bagi 'memanjangkan jangka hayat' pakatan ketenteraan itu. 

Jika NATO melebarkan sayap ke rantau Asia-Pasifik, membuat pengubahsuaian terhadap pentadbiran dan nilai di negara-negara di rantau berkenaan mengikut acuan Barat, maka ia pasti akan menimbulkan tentangan umum malah mencetuskan pergolakan dan krisis.

Baru-baru ini, ramai rakyat Jepun dan Korea Selatan mengadakan tunjuk perasaan, membantah NATO mencetuskan ketegangan ketenteraan, di samping menentang peluasan NATO ke rantau Asia-Pasifik.

Pada hakikatnya, bukan semua anggota NATO menyokong rancangan peluasan pertubuhan itu ke Asia-Pasifik. Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa NATO sudah "mati otak", dan beliau membantah keras pembukaan pejabat perhubungan pertubuhan itu di Jepun.

NATO yang diketuai AS ingin membawa 'pengalaman Eropah' ke Asia-Pasifik. Walau bagaimanapun, apa yang akan dibawa ke rantau ini adalah pemisahan dan konfontasi dan ia pasti akan dibantah oleh rakyat serantau.

Ketua pertubuhan anti perang dari Kanada, Hamilton Coalition to Stop the War, Ken Stone menyatakan bahawa NATO adalah pertubuhan ketenteraan agresif yang diketuai AS, dan ia telah hilang makna kewujudannya jika menurut perlembagaan pertubuhan itu.