China Seru Isu Keselamatan Makanan Diberi Keutamaan

2023-07-13 13:17:02  CRI
Share with:

China menyeru supaya isu keselamatan makanan diberi keutamaan dalam agenda antarabangsa.

Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing berkata Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) harus berperanan sepenuhnya dalam menyokong negara-negara terlibat mencari penyelesaian yang efektif.

Beliau turut menyeru agar masyarakat antarabangsa menyokong negara-negara membangun mengembangkan pengeluaran bahan makanan, serta mengukuhkan daya tahan terhadap impak perubahan iklim dan bencana alam.

"Adalah penting untuk mempergiatkan pembinaan prasarana utama di luar bandar membabitkan tali air, jalan raya, jana kuasa elektrik dan Internet, sekali gus memacu pembangunan desa," katanya dalam satu sesi khas anjuran FAO, di sini pada Rabu.

Dai menekankan perlunya menggalakkan pembangunan mampan sektor pertanian menerusi inovasi teknologi, menggerakkan transformasi hijau, rendah karbon dan digital dalam sistem makanan, serta meningkatkan kecekapan pengeluaran pertanian sambil memastikan persekitaran ekologi dilindungi dengan baik.

"Negara maju perlu menghapuskan subsidi pertanian yang tidak munasabah, mengamalkan dasar monetari yang bertanggungjawab, dan mengurangkan kesan faktor luaran seperti inflasi dan turun naik kadar pertukaran terhadap keselamatan makanan negara membangun," tambah beliau.