China Kekal Enjin Pertumbuhan Global

2023-07-18 15:03:26  CRI
Share with:

Pelaburan dan penanaman modal asing di China menunjukkan peningkatan ketara sejak awal tahun ini.

Sebagai contoh, syarikat konglomerat Jerman, Siemens menambah pelaburan aset tetap bernilai RMB1.1 bilion (RM690 juta) untuk membina pangkalan pembuatan pintar produk automasi perindustrian di Chengdu, ibu kota provinsi Sichuan.

Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat, Moderna Inc pula memeterai memorandum pelaburan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran dan penjualan ubat mRNA di negara Tembok Besar.

Menurut data terkini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China mencatat RMB59.3 trilion (RM37.6 trilion) pada separuh pertama tahun ini, menokok 5.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Kadar pertumbuhan itu lebih cepat berbanding entiti ekonomi maju utama, sekali gus menjadikan China kekal sebagai enjin pertumbuhan global.

China turut dianggap memberi sokongan penting kepada operasi rantaian perindustrian dan bekalan sejagat.

Untuk rekod, jumlah import dan eksport perdagangan barangan China mencecah RMB20.1 trilion (RM12.7 trilion) pada separuh tahun pertama, dengan peningkatan sebanyak 2.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi seumpama adalah agak sukar untuk dicapai memandangkan permintaan antarabangsa menjadi lemah buat masa ini.

China yang sentiasa berperanan dalam tadbir urus global juga menawarkan banyak kemudahan kepada pelaburan asing.

Difahamkan, rundingan teks berhubung Kenyataan Bersama Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai Kemudahan Pelaburan untuk Pembangunan telah berakhir mutakhir ini.

Menurut anggaran, sekiranya inisiatif itu dikuatkuasakan dan dilaksanakan dengan lancar, ia akan membawa manfaat pertumbuhan ekonomi sehingga USD1 trilion (RM4.53 trilion) kepada dunia.