Kebijaksanaan Diplomasi Kissinger Diperlukan AS

2023-07-21 13:10:45  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan mantan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Henry Kissinger di Wisma Tamu Negara Diaoyutai di Beijing pada Khamis.

Menggelar Kissinger sebagai kawan lama, Presiden Xi memberi penghargaan kepada sumbangan bersejarahnya demi mendorong perkembangan hubungan bilateral dan meningkatkan persahabatan rakyat antara China dengan AS.

Kissinger berkata bahawa hubungan AS-China amat signifikan bagi kedamaian dan kemakmuran kedua-dua negara dan dunia.

Pada 52 tahun lalu, sebagai utusan khas Presiden Richard Nixon, Kissinger menemui pemimpin China di Wisma Tamu Negara Diaoyutai juga, sekali gus memulakan usaha bagi menormalkan hubungan bilateral.

Dalam lingkungan ahli politik di AS, Kissinger mewakili golongan yang mengesyorkan jalinan perhubungan dengan China dan penyelesaian percanggahan secara baik. Golongan itu mampu menggubal dasar yang rasional dan konstruktif terhadap China berdasarkan realiti bagi melindungi kepentingan negara.

Walaupun situasi antarabangsa telah mengalami perubahan pada hari ini, namun logik dalam perhubungan China-AS tidak berubah iaitu kolaborasi membawa manfaat, manakala konfrontasi menjejaskan kepentingan semua. Selain itu, kerjasama antara kedua-dua negara juga bermanfaat kepada kedamaian dan kestabilan dunia.

China tetap konsisten dengan dasar terhadap AS. Sebagaimana yang kerap kali ditegaskan Presiden Xi bahawa tiga prinsip iaitu saling menghormati, hidup bersama secara damai dan bekerjasama demi situasi menang-menang merupakan kunci bagi memantapkan hubungan bilateral. Prinsip yang ditentukan berdasarkan perkembangan hubungan China-AS selama ini, juga merupakan adab pergaulan yang betul bagi kedua-dua negara pada era baharu.

Menerusi kolaborasi dalam tempoh 52 tahun lalu, China dan AS menjayakan banyak usaha yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan dunia.

Bagaimana caranya memandang dan bergaul dengan China yang sejajar kepentingan negara sendiri? Pucuk pimpinan AS perlu mencari jawapan daripada sejarah. Kebijaksanaan diplomasi Kissinger diperlukan pihak AS bagi mengendalikan hubungan dengan China secara baik.