HKSAR Mahu Perkasakan Kerjasama Ekonomi, Perdagangan dengan ASEAN

2023-07-28 16:19:19  CRI
Share with:

Syarikat-syarikat di ASEAN dialu-alukan untuk mengembangkan perniagaan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), memanfaatkan platform perkhidmatan dan pembiayaan yang profesional di sana bagi meneroka pasaran Teluk Besar Guangdong-HK-Makau.

Ketua Eksekutif HKSAR, John Lee Ka-Chiu berkata, ASEAN merupakan rakan dagang kedua terebesar bagi HK dan entiti ekonomi kelima terbesar di dunia.

Melihat kepada pertumbuhan ekonomi yang kuat dan pembangunan yang berpotensi besar di ASEAN, beliau menzahirkan harapan untuk mencari peluang perdangan dengan ASEAN selain mempromosi HK kepada negara-negara di rantau ini.

John Lee berkata demikian ketika diwawancara oleh Kumpulan Media China (CMG), di sini, pada Khamis, iaitu hari lawatan terakhirnya mengetuai delegasi HKSAR ke tiga negara ASEAN termasuk Singapura dan Indonesia.

Menurut beliau, dalam rangka lawatan kali ini beliau telah bertemu dengan pegawai kerajaan dan ahli perniagaan tempatan, serta mempromosi keunikan HK.

Jelas John Lee, kerjasama antara HK dengan negara-negara ASEAN turut mempunyai asas yang baik, dan ruang pembangunan di kedua-dua pihak juga tidak terbatas.

"HK mempunyai banyak kelebihan dan ia boleh digunakan untuk membantu ASEAN.

"Pada masa sama, ASEAN juga boleh mencari lebih banyak peluang perniagaan dan perdagangan dengan menggunakan platform di HK," ujar beliau.

Untuk rekod, jumlah dagangan antara HKSAR dengan ASEAN memperbaharui rekod, iaitu mencapai HKD1.29 trilion (RM754.35 bilion) pada 2022.

Turut difahamkan, kini lebih 80 firma yang beribu pejabat di rantau ASEAN disenaraikan dalam bursa saham HK.

"HK ialah jambatan yang menghubungkan Tanah Besar China dengan dunia, dan ia membolehkan negara-negara ASEAN meneroka pasaran gergasi di China.

"Ruang kerjasama antara kedua-dua pihak amat besar," kata John Lee.