Tiga Amaran di Sebalik Penurunan Penarafan Kredit AS

2023-08-04 14:53:14  CRI
Share with:

Selepas agensi penarafan Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) daripada AAA kepada AA+ pada Selasa, kedua-kua parti Demokratik dan Republikan 'bertelingkah' dan saling mencela.

Parti Demokratik mendakwa bahawa penurunan penarafan kredit itu adalah akibat Parti Republikan mencetuskan krisis kegagalan pembayaran hutang, manakala Parti Republikan pula menuduh ia adalah disebabkan kegagalan kerajaan Biden dalam menangani urusan ekonomi.

Perselisihan antara kedua-dua parti sekali lagi membuktikan salah satu sebab yang penting di sebalik penurunan kredit oleh Fitch, iaitu kemampuan pentadbiran AS semakin berkurang akibat polarisasi politik. 

Menurut Fitch, hutang kerajaan AS berada pada tahap tinggi dan masih bertambah, dan situasi kewangan negara itu dijangka akan menjadi lebih buruk dalam tiga tahun akan datang. Ini dianggap amaran kedua kepada Washington, iaitu prospek ekonomi AS amat membimbangkan akibat hutang yang terlalu banyak. 

Menurut data terkini Jabatan Perbendaharaan AS, setakat 31 Julai, hutang kerajaan persekutuan merekodkan USD32.6 trilion, bersamaan setiap warga AS berhutang USD100 ribu.

Penganalisis berpendapat bahawa penurunan penarafan AS oleh Fitch akan mengakibatkan pergolakan besar di kebanyakan pasaran maju, dan ini mungkin akan mempercepat proses de-dolarisasi. Inilah amaran ketiga.

Dolar Amerika menjadi mata wang antarabangsa berasaskan kredit kerajaan. Sekiranya kredit sesebuah kerajaan terjejas, maka masyarakat antarabangsa pasti akan membuat pilihan baharu yang sewajarnya. 

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, semakin banyak negara telah atau sedang merancang pelan untuk de-dolarisasi. Mutakhir ini, Bolivia mula menggunakan renminbi dalam perdagangan luar, menjadi sebuah lagi negara Amerika Selatan yang sering menggunakan renminbi.