Rancangan Koridor Tengah, BRI, Saling Melengkapi - PM Georgia

2023-08-07 13:31:16  CRI
Share with:

Perdana Menteri Georgia, Irakli Garibashvili berpendapat bahawa inisiatif saranan Presiden Xi Jinping sebagai berfaedah terhadap kedamaian, kemajuan, kemodenan, kemakmuran dan pembangunan.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global oleh Presiden China dalam wawancara eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

 

Menurut Garibashvili, Georgia antara negara terawal yang menyertai pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI),  dan pihaknya menyatakan sokongan terhadap BRI pada 2015.

 

Jelas beliau, sebagai sebahagian daripada jalan sutera kuno, Georgia juga akan mendapat peluang baik dengan wujudnya BRI.

 

“Kedudukan geografi dan geostragegi Georgia adalah sangat istimewa; laluan yang menghubungkan Timur dengan Barat jika melalui Georgia merupakan jarak  yang paling pendek.

 

"Contohnya, pengangkutan kargo dari China ke Eropah memerlukan sekitar hanya 15 hari jika melalui Georgia berbanding dengan pengangkutan maritim yang akan memakan masa sekitar 45 hari.

 

"Maka, Koridor Tengah yang terdiri daripada Kazakhstan, Azerbaijian, Georgia dan Turkiye adalah sangat berpotensi," kata Garibashvili.

 

Tambah beliau, banyak projek infrastruktur besar sedang dijalankan di Georgia.

 

Garibashvili berkata, landasan kereta api moden serta lebuh raya yang menghubungkan timur dan barat merupakan projek yang  dijalankan oleh syarikat China.

 

Beliau menyifatkan kerja-kerja yang dilakukan syarikat China sebagai cekap dan harga yang ditawarkan adalah kompetitif.

 

“Georgia mampu berkembang menjadi hab logistik, sumber tenaga dan pengangkutan penerbangan.

 

"Kami mahu membina lapangan terbang baharu yang bertaraf antarabangsa supaya dapat membekalkan perkhidmatan kepada syarikat pelbagai negara termasuk China," ujar Garibashvili.

 

Difahamkan, sejak menyandang jawatan Perdana Menteri, beliau turut  melancarkan rundingan dengan China untuk perjanjian perdagangan bebas dan menjadi saksi kepada penandatanganan perjanjian itu.

 

Untuk rekod, perdagangan dua hala meningkat lebih 400 kali ganda dalam tempoh lebih 30 tahun lalu, dan China menjadi rakan dagang ketiga terbesar bagi Georgia.

 

“China amat penting bagi kami, (dan) kami penuh menyokong usaha mengeratkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan China,” kata Perdana Menteri itu.