Siapakah Dalang Peristiwa Terumbu Ren'ai

2023-08-09 15:51:53  CRI
Share with:


Pengawal Pantai China (CCG) pada Selasa menyiarkan rakaman video mengenai operasi menghalang kapal Filipina yang menceroboh masuk kawasan perairan terumbu Ren’ai, kepulauan Nansha China.

Dalam pada itu, kapal CCG memberi amaran dengan melepaskan meriam air bagi mengelakkan perlanggaran dengan kapal Filipina.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) tampil menghitamkan operasi sah dilakukan China untuk melindungi hak sendiri.

Pada 9 Mei 1999, tentera laut Filipina mengerahkan sebuah kapal pendarat kereta kebal yang usang ke terumbu Ren’ai dan membiarkan kapal itu terkandas di pantai dengan dalih ia dimasuki air. Filipina juga menempatkan anggota tentera di kapal berkenaan.

Sejak sekian lama, China kerap kali berkomunikasi dengan Filipina dan menuntut negara itu supaya tidak menghantar bahan binaan kepada kapal perang berkenaan, di samping mencadangkan kedua-dua pihak menyegerakan perbincangan bagi mengawal situasi di terumbu Ren’ai.

Tanpa mempedulikan gesaan China, Filipina berdegil menghantar bahan binaan untuk kapal perang tersebut.

Pada masa yang sama, AS menghasut Filipina bertindak sedemikian malah mengerahkan pesawat dan kapal perang sebagai sokongan, dan mengugut China dengan memetik Perjanjian Pertahanan Bersama AS-Filipina.

Perselisihan berkaitan terumbu Ren’ai mutakhir ini tercetus dalam senario AS giat melobi Filipina dan cuba mendorong strategi Indo-Pasifik untuk mengekang China.

Walaupun tidak terlibat sama sekali dalam isu Laut China Selatan, namun AS sering kali mencanangkan dusta bahawa wujudnya ancaman terhadap kebebasan pelayaran di perairan tersebut, dan mengadudombakan negara-negara di rantau ini.

Peristiwa kali ini sekali lagi membuktikan bahawa AS tidak mahu melihat ketenangan Laut China Selatan, dan sentiasa menjadi dalang yang mengeruhkan situasi.

Bagi Filipina, perlulah menyedari bahawa adalah tidak selaras dengan kepentingan sendiri jika diperalatkan AS untuk menghebohkan perselisihan dengan China. Ia juga tidak berfaedah kepada kedamaian dan keselamatan serantau.

Laut China Selatan bukan 'taman buru' bagi negara luar rantau, dan ia tidak seharusnya menjadi 'medan perlawanan' antara kuasa besar.

China dan negara-negara ASEAN perlu mengekalkan komitmen untuk mendorong rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan, di samping tegas menentang campur tangan kuasa dari luar rantau.

Justeru, hanya negara serantau sahaja yang berhak menerajui usaha menangani isu Laut China Selatan.