Faham Hubungan China-ASEAN, Golongan Muda Mampu Rapatkan Perbezaan Serantau

2023-08-09 13:23:57  CRI
Share with:

Oleh: Ahmad Syukri Azmi

 

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia ke China, Sanmugan Subramaniam menggalakkan golongan pelajar di China untuk mengembara ke negara-negara ASEAN, serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai pelajar atau mengambil kesempatan dalam memahami kebudayaan negara di rantau itu.


Menurut beliau, kebudayaan merupakan satu elemen penting yang boleh merapatkan negara, dan ketidakfahaman mengenai perkara itu boleh menjurus kepada berlakunya perselisihan serta salah faham.

 

Justeru, Sanmugan berkata bahawa dengan memahami budaya, ia akan membuka ruang kepada generasi muda untuk mengurangkan jurang perbezaan serantau.

 

Beliau berkata demikian ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) selepas Majlis Sambutan Hari ASEAN pada Selasa yang diselaraskan Kedutaan Besar Malaysia di China iaitu Pengerusi Komuniti ASEAN di Beijing untuk tahun ini.

 

Pada majlis itu, sekumpulan pelajar sekolah menengah di Beijing diundang untuk menyaksikan sambutan tersebut dengan objektif agar lebih ramai golongan muda memahami tentang kerjasama ASEAN dengan China.

 

Menyentuh mengenai peranan China dalam hubungan serantau, Sanmugan menyatakan bahawa negara Tembok Besar itu merupakan rakan dialog ASEAN yang rapat.

 

Jelas beliau, China juga turut memahami dan menghormati prinsip ASEAN yang menekankan tentang pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan serta pengurangan jurang kemiskinan.

 

Dalam perkembangan lain, Sanmugan turut memberitahu bahawa pihaknya akan memberi fokus untuk membawa lebih pelancong dari China yang disifatkan sebagai mampu meningkatkan aktiviti ekonomi pasca pandemik COVID-19 dan pembukaan semula sempadan.