Hangzhou Jadi Tuan Rumah Jelajah Dunia Akhir BWF 2023-2026

2023-08-10 11:31:34  CRI
Share with:

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Rabu mengumumkan bahawa bandar Hangzhou China akan menjadi tuan rumah kejohanan Jelajah Dunia Akhir (World Tour Finals) BWF edisi tahun ini sehingga 2026.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund dalam satu kenyataan menyifatkan Hangzhou sebagai bandar yang ideal untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan itu.

Menurut beliau, ia berikutan terdapatnya infrastruktur sukan yang sangat baik di bandar ini, selain berpengalaman luas dalam penganjuran acara sukan antarabangsa.

Difahamkan, badminton merupakan acara sukan popular dalam kalangan penduduk Hangzhou, dan terdapat banyak pertandingan pelbagai peringkat turut diadakan sepanjang tahun di bandar ini.

Dalam medan persaingan kompetitif, ramai pemain badminton yang hebat telah dilahirkan di Hangzhou termasuk Fu Chun'e, Sang Yang, Wang Lin dan Chen Yufei.

Pemain-pemain badminton dari Hangzhou juga pernah meraih kejuaraan dalam pelbagai temasya sukan antarabangsa utama.

Antaranya adalah sekali dalam Sukan Olimpik, 19 kali dalam pertandingan peringkat dunia dan 10 kali dalam pertandingan Asia.

Untuk rekod, Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF merupakan pertandingan peringkat tertinggi bagi siri kejohanan badminton Jelajah Dunia, dengan pemain di kedudukan  lapan teratas Ranking Jelajah Dunia BWF sahaja yang berkelayakan mengambil bahagian.

Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF edisi 2023 dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 17 Disember nanti.