AS Jamin Tukar Banduan dan Bebaskan Aset Iran yang Terbeku

2023-08-15 13:01:02  CRI
Share with:

Iran telah memperoleh jaminan yang diperlukan daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dalam isu-isu seperti pertukaran banduan AS-Iran dan membebaskan beberapa aset Iran yang terbeku di luar negeri.

Demikian kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani dalam sesi taklimat mengenai hubungan AS-Iran dan situasi rantau pada Isnin.

Ketika mengulas tentang tindakan AS membeku dana USD6 bilion (RM27.78 bilion) dimiliki Iran di Korea Selatan, Kanaani menyifatkannya sebagai sekatan unilateral dilakukan AS hingga menyebabkan sebahagian dana Iran dibeku di negara lain.

Menurut beliau, menerusi perundingan AS-Iran berlarutan selama hampir dua tahun, prosedur untuk membebaskan aset Iran di luar negeri dan banduan Iran akan diselesaikan di bawah rangka perjanjian dicapai kedua-dua pihak. 

Beliau menegaskan bahawa walaupun isu tersebut tidak berkaitan secara langsung dengan rundingan mengenai pemulihan pelaksanaan perjanjian nuklear Iran, tetapi kedua-duanya mempengaruhi satu sama lain. 

Pada hari yang sama, Menteri Luar Negeri Iran, Hossein Amir Abdollahian menyatakan, dana Iran di Korea Selatan yang dibebaskan akan ditukar kepada euro dan disimpan di sebuah bank rantau dalam tempoh beberapa minggu, manakala Iran akan menggunakan dana itu untuk membeli barang yang tidak dikenakan sekatan.