China Komited Perkasa Kerjasama dengan Laos dan Vietnam
Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Wang Yi pada Rabu mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Perdana Menteri Sri Lanka, Dinesh Gunawardena, Naib Presiden Laos, Pany Yathotou, Naib Presiden Nepal, Ram Sahay Prasad Yadav, dan Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Tran Luu Quang yang datang untuk menghadiri Ekspo China-Asia Selatan ketujuh di Kunming, provinsi Yunnan China.
Pany Yathotou dalam pertemuan itu berkata, Laos bersedia bekerjasama dengan China untuk melaksanakan konsensus penting yang tercapai oleh pemimpin parti dan negara kedua-dua pihak, meningkatkan pertukaran peringkat tinggi, terus memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, memperkasa kerjasama dalam sektor ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pelancongan, bagi membentuk komuniti berkongsi nasib Laos-China.
Wang yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC berkata, China bersedia untuk terus memperluaskan kerjasama komprehensif dengan Laos dalam pelbagai bidang, dan menterjemahkan konsensus peringkat tinggi kepada hasil kerjasama yang sebenar demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Ketika ditemui Tran Luu Quang, Wang mencadangkan China dan Vietnam perlu membuat persiapan yang baik untuk pertukaran antara pegawai peringkat tinggi pada fasa selanjutnya, memupuk rasa saling percaya dalam pelaksanaan strategi, dan bersama-sama memelihara keselamatan dari segi pemerintahan dan sistem pentadbiran.
Tran Luu Quang pula menyatakan, Vietnam sentiasa mengutamakan perkembangan hubungan dengan China dalam pelaksanaan dasar luarnya.
“Vietnam menolak dan berwaspada terhadap campur tangan dari kuasa luar dan bersedia meningkatkan pertukaran peringkat tinggi dengan China dan memperkasa kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang.
“Vietnam bersedia memainkan peranan yang wajar dalam ASEAN untuk bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan bagi mewujudkan pembangunan bersama,” katanya.