Arab Saudi, Iran Tingkatkan Hubungan Demi Keselamatan Serantau

2023-08-18 15:23:37  CRI
Share with:

Menteri Luar Arab Saudi, Faisal telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Hossein Amir-Abdollahian di Riyadh, ibu kota negara itu semalam.

Kedua-dua pihak menegaskan pemulihan dan peningkatan hubungan bilateral akan membawa manfaat bagi keamanan dan keselamatan serantau.

Faisal dalam sidang akhbar selepas pertemuan tersebut menekankan bahawa pemulihan hubungan diplomatiknya dengan Iran adalah penting bagi keselamatan serantau. Pihaknya berharap terus meningkatkan hubungan bilateral dengan Iran, dan komited memupuk rasa saling percaya. Arab Saudi akan melaksanakan perjanjian kerjasama keselamatan dan ekonomi yang tercapai antara kedua-dua negara. Faisal juga mengucapkan terima kasih kepada Iran yang menyokong permohonan Arab Saudi untuk menganjurkan Ekspo Sedunia 2030.

Abdollahian pula menunjukkan bahawa hubungan Iran dengan Arab Saudi yang sedang berkembang ke hala yang tepat telah menyaksikan tercapainya kemajuan yang berturut-turut. Beliau menyanjung tinggi peranan Arab Saudi dalam urusan serantau. Pihaknya berseida bekerjasama dengan Arab Saudi untuk menyelesaikan sesetengah masalah yang belum ada kesudahan. Presiden Iran Ebrahim Raisi dijangka akan melawat Arab Saudi pada masa terdekat ini, dedah beliau.

Sebagai rekod, ini kali pertama Menteri Luar Iran melawat Arab Saudi sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara diputuskan pada 2016.

Melalui pengantaraan China, wakil dari Arab Saudi dan Iran mengadakan dialog di Beijing pada Mac tahun ini. China, Arab Saudi dan iran telah menandatangani lalu mengumumkan satu kenyataan bersama bahawa Arab Saudi dan Iran bersetuju memulihkan hubungan diplomatik.