NDB Sasar 30 Peratus Transaksi Guna Mata Wang Tempatan

2023-08-21 15:20:41  CRI
Share with:

Masalah yang muncul dalam proses globalisasi perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan globalisasi dapat terus bergerak ke hadapan.

Presiden Bank Pembangunan Baharu (NDB), Dilma Rousseff berkata globalisasi telah memberi banyak kemudahan kepada dunia.

"Ia membawa rantaian nilai global yang membolehkan produk dihasilkan di serata dunia, sekali gus menjadikan dunia lebih rapat.

"Ia juga memberi banyak syarat kondusif melalui aliran maklumat, komoditi dan perkhidmatan.

“Namun, ia juga memperlihatkan keterbatasannya, terutamanya dalam bidang kewangan,” kata beliau ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Menurut Rousseff, dunia sedang menuju ke arah multipolar, dan tidak lagi unipolar yang berorientasikan dolar Amerika.

“Kami menyasarkan supaya sebahagian transaksi dan aktiviti perdagangan dapat dilakukan dengan menggunakan mata wang tempatan, dan perkara ini adalah sangat signifikan.

“Kami juga berharap dapat mengumpulkan modal dengan mata wang tempatan, membantu negara anggota NDB menyertai pasaran modal secara lebih mendalam dan aktif, agar menyumbang kepada perkembangan ekonomi global,” ujar beliau.

Rousseff turut menyatakan pihaknya menyasarkan 30 peratus transaksi dibuat melalui mata wang tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang.  

Beliau juga menyifatkan pengeluaran bon, pengumpulan modal dan pemberian pinjaman dengan mata wang tempatan mampu mengelakkan kesan teruk akibat turun naik kadar pertukaran, termasuk krisis hutang.