Hubungan China-Afrika Selatan Masuk Era Keemasan

2023-08-24 14:48:42  CRI
Share with:

Pemimpin China dan Afrika Selatan mencapai siri konsensus penting dalam pertemuan mutakhir ini, selain menyaksikan penandatanganan 11 dokumen kerjasama kedua-dua negara.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-25 ikatan diplomatik China-Afrika Selatan. Hubungan bilateral ini menyaksikan lonjakan dari peringkat perkongsian ke perkongsian strategik, sehingga perkongsian strategik komprehensif pada masa ini.

China dan Afrika menjalin persahabatan kukuh dengan berganding bahu memacu pembangunan.

Presiden Xi Jinping menyarankan China dan Afrika Selatan supaya menjadi rakan strategik yang mempunyai kesalingpercayaan bertahap tinggi, rakan pembangunan yang maju bersama, rakan bersahabat yang saling memahami, dan rakan global yang mempertahankan keadilan.

Saranan yang dikemukakan berdasarkan situasi antarabangsa semasa tersebut menetapkan hala tuju pemerkasaan kerjasama pragmatik antara kedua-dua negara.

Afrika Selatan ialah negara Afrika pertama yang menganggotai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dan ia menjadi rakan dagang terbesar bagi China di benua itu selama 13 tahun berturut-turut. Pelaburan kumulatif China di Afrika Selatan berjumlah USD25 bilion, sekali gus menawarkan lebih 400 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Jumlah dagangan kedua-dua negara pada separuh tahun pertama tahun ini menyaksikan peningkatan sebanyak 11.7 peratus tahun ke tahun.

Semasa lawatan Presiden Xi ke Afrika Selatan kali ini, pihak China menzahirkan sokongan kukuh kepada negara itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam urusan antarabangsa dan serantau, di samping komited bersama-sama negara-negara membangun untuk mengamalkan multilateralisme sebenar.

Sementara itu, Afrika Selatan juga meluahkan hasrat pihaknya dan negara-negara Selatan Global yang lain untuk merapatkan perpaduan dan kerjasama dengan China, dan mendorong pembinaan orde antarabangsa yang lebih sama rata, adil dan rasional.

Hubungan China-Afrika Selatan sudah memasuki era keemasan dan mempunyai prospek cerah. Hasil lawatan Presiden Xi ke Afrika Selatan kali ini diyakini akan menyuntik momentum baharu kepada kerjasama China-Afrika serta keamanan dan pembangunan dunia.