Negara-negara Pasifik Berhak Tuntut Pampasan kepada Kerajaan Jepun

2023-08-26 17:12:20  CRI
Share with:


Sejak air radioaktif dari loji Fukushima dilepaskan ke Lautan Pasifik mutakhir ini, suara kutukan dari negara-negara di pesisir pantai Pasifik semakin banyak dan lantang. Pakar menegaskan bahawa negara-negara Pasifik berhak untuk menuntut pampasan kepada kerajaan Jepun.

Dari segi perundangan, terdapat beberapa perjanjian antarabangsa berkaitan tindakan pembuangan sisa radioaktif sesebuah negara ke dalam lautan.

Sebagai contoh, Konvensyen di Laut Tinggi 1958 menetapkan bahawa negara-negara mesti mencegah tindakan pembuangan sisa radioaktif dan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa, mengambil langkah untuk menghalang sebarang kegiatan daripada mencemarkan air laut atau udara di atasnya melalui penggunaan bahan radioaktif atau agen berbahaya yang lain.

Menurut Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1982 pula, semua negara berkewajipan untuk melindungi dan memelihara alam sekitar laut, dan tidak boleh "memindahkan kemudaratan atau bahaya". Jepun selaku negara anggota bagi beberapa konvensyen antarabangsa terlibat, melanggar peruntukan konvensyen terbabit dan mesti memikul tanggungjawab dan memberi pampasan kepada negara-negara pesisir Pasifik.

Ditinjau dari kes-kes dalam sejarah pula, terdapat banyak preseden untuk tuntutan sedemikian membabitkan pencemaran nuklear. Tribunal timbang tara antarabangsa pada 1938 hingga 1941 membuat keputusan bahawa sulfur dioksida yang dilepaskan oleh Pelebur Terrell Kanada membawa kerosakan kepada negeri Washington di Amerika Syarikat (AS). Tribunal itu menuntut Kanada membayar pampasan kepada AS. Kes ini dianggap sebagai asas undang-undang antarabangsa untuk menuntut tanggungjawab negara terhadap tindakan pencemaran rentas sempadan. 

Pada tahun 1970-an, Perancis disaman oleh Australia dan New Zealand ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana menjalankan ujian nuklear di selatan Lautan Pasifik.

Pada awal abad ini, Britain disaman oleh Ireland kepada Tribunal Undang-undang Laut Antarabangsa membabitkan isu sisa nuklear di dasar laut.

(AS melakukan ujian nuklear sebanyak 67 kali di Kepulauan Marshall, dari 1946 hingga 1958)


Pada tahun 1986, AS menandatangani Perjanjian Persatuan Bebas dengan Kepulauan Marshall, bersetuju untuk memikul tanggungjawab pampasan berkaitan kerosakan harta benda dan kesihatan penduduk tempatan yang disebabkan oleh ujian nuklear. Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa memutuskan bahawa AS perlu membayar USD2.3 bilion kepada Kepulauan Marshall.

Sehubungan dengan itu,  negara-negara di pesisir Lautan Pasifik boleh merujuk kepada kes-kes tersebut, membuat kajian secara saintifik tentang kerosakan sendiri, menggunakan senjata undang-undang untuk menuntut pampasan daripada Jepun demi mempertahankan hak dan kepentingan sendiri.