China dan Afrika Berganding Bahu Wujudkan Modenisasi

2023-08-27 14:55:37  CRI
Share with:

Pendapatan penduduk di kaunti Garissa, timur laut Kenya bertambah sejak mutakhir ini. Inilah hasil daripada waktu perniagaan restoran tempatan dilanjutkan dan air dapat dipam ke ladang pertanian, berikutan bekalan tenaga elektrik yang mencukupi.

Stesen Janakuasa Fotovoltaik Garissa yang dibina oleh syarikat China berjaya menyelesaikan masalah kekurangan tenaga tempatan, sekali gus menyumbangkan tenaga hijau kepada pembangunan Kenya.

Tahun ini ialah ulang tahun ke-10 prinsip China yang berteraskan keikhlasan, hasil sebenar, persahabatan dan keyakinan terhadap negara Afrika. Sepanjang sedekad lalu, China mengambil bahagian dalam pembinaan landasan kereta api lebih 6,000 kilometer, jalan raya lebih 6,000 kilometer, dan lebih 80 kemudahan janakuasa besar di Afrika. Penyelesaian projek satu demi satu itu adalah selari dengan kenyataan Presiden China Xi Jinping dalam ucaptama pada Dialog Pemimpin China-Afrika pada Khamis lalu, iaitu China "bersedia berganding bahu dengan Afrika untuk mewujudkan modenisasi".

Pada masa ini, China mempergiat pemodenan ala China secara menyeluruh, dan mengalu-alukan negara-negara Afrika untuk menumpang 'kereta api laju' pembangunan China.

China menjadi rakan dagang terbesar Afrika selama 14 tahun berturut-turut. Pada tahun 2022, import dan eksport China ke Afrika merekodkan RMB1.87 trilion (RM1.19 trilion), menokok 14.8 peratus dari tahun ke tahun.

Dalam pada itu, China adalah destinasi eksport kedua terbesar bagi produk pertanian Afrika. Bijan dan kacang tanah dari Afrika menduduki 80 peratus daripada jumlah import komoditi terbabit di China. Menjelang tahun 2035, jumlah dagangan antara China dan Afrika dijangka akan mencecah 300 bilion dolar AS setahun. Kini, semakin ramai rakyat Afrika memberi perhatian dan mengkaji pengalaman pemodenan ala China.

Pada mesyuarat dialog antara China dengan Afrika kali ini, Presiden Xi mengemukakan cadangan tiga langkah iaitu "Inisiatif Menyokong Pengindustrian Afrika", "Rancangan Bantuan China kepada Pemodenan Pertanian Afrika", dan "Pelan Kerjasama Latihan Bakat China-Afrika". Langkah-langkah tersebut sesuai dengan keperluan pemodenan dan pembangunan Afrika, dan akan menyumbang kepada integrasi dan pemodenan Afrika, sekali gus mengintensifkan kerjasama China-Afrika.