CIFTIS Pamer Momentum Baharu Buat Dunia

2023-09-03 15:38:00  CRI
Share with:


Ucaptama Presiden China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak Perdagangan Perkhidmatan Global sempena Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2023 sekali lagi menggambarkan komitmen China untuk memperluas keterbukaan bertaraf tinggi dan berkongsi hasil pembangunan dengan dunia.

Perdagangan perkhidmatan muncul sebagai enjin baharu bagi perdagangan global. Menurut jangkaan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), perdagangan perkhidmatan bakal menyumbang 50 peratus kepada perdagangan global pada 2040.

CIFTIS kali ini menyaksikan penyertaan lebih 2,400 syarikat secara fizikal, antaranya lebih 500 buah perusahaan yang tersenarai dalam Fortune Global 500 atau syarikat peneraju dalam sektor berkenaan. 

Menurut statistik Kementerian Perdagangan China, jumlah import dan eksport China mencatat hampir 6 trilion yuan (kira-kira RM3.84 trilion) pada tahun lepas, sekali gus menduduki tempat kedua di dunia selama sembilan tahun berturut-turut. Pasaran yang berskala besar dan peluang baharu daripada penaiktarafan industri negara ini menjadi daya tarikan buat syarikat peserta CIFTIS.

Sempena CIFTIS kali ini, China juga mengeluarkan mesej yang dianggap sebagai komitmen negara ini untuk mewujudkan iklim pembangunan yang lebih terbuka dan terangkum. Ini termasuklah memperluas jaringan kawasan perdagangan bebas berpiawaian tinggi yang menyasarkan dunia, aktif menjalankan rundingan berhubung senarai negatif perdagangan perkhidmatan dan pelaburan serta terus melonggarkan akses pasaran untuk sektor perkhidmatan.

CIFTIS mempamerkan momentum baharu yang diperlukan bagi memacu perdagangan perkhidmatan dunia.  

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-45 pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka di China. Sebagai wadah penting demi keterbukaan bertaraf tinggi, CIFTIS menyaksikan sumbangan China kepada perdagangan perkhidmatan dan pertumbuhan ekonomi global. Menurut Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, ekonomi China menyumbang sebanyak sepertiga pertumbuhan dunia.

Dalam menggerakkan proses modenisasi ala China, China akan terus berusaha memperluas keterbukaan yang bertaraf tinggi. Usaha itu menjanjikan lebih banyak perkhidmatan unggul dicipta demi manfaat rakyat seluruh dunia.