Rakyat Jepun Dakwa Kerajaan Buang Air Tercemar Nuklear ke Laut

2023-09-09 16:25:50  CRI
Share with:

Lebih 100 orang penduduk Jepun pada Jumaat memfailkan saman terhadap kerajaan Jepun dan syarikat Tokyo Electric Power Company (TEPCO) susulan bertindak secara sewenang-wenangnya melepaskan air tercemar nuklear dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima ke laut dan menuntut Mahkamah Daerah Fukushima membuat keputusan untuk menghentikan tindakan tersebut. Ini merupakan tuntutan undang-undang pertama berhubung seruan menghentikan pelepasan air tercemar radioaktif ke laut dan juga satu lagi langkah di sisi undang-undang yang diambil rakyat Jepun untuk mempertahankan hak dan kepentingan sendiri selepas pertubuhan penduduk Jepun mengemukakan dakwaan terhadap Perdana Menteri Fumio Kishida. 

Data TEPCO menunjukkan, pihaknya akan memulakan pelepasan air tercemar nuklear ke laut pusingan kedua pada akhir September setelah pelepasan pusingan pertama sebanyak 7,800 tan air tercemar nuklear selesai esok. Pendakwaan rakyat Jepun terhadap kerajaan mencerminkan keprihatinan mendalam dan kecaman keras pelbagai pihak yang terlibat.

Ironinya, kerajaan Jepun yang disifatkan sebagai “defendan" pernah menyamar diri sebagai "plaintif" baru-baru ini untuk memfailkan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung larangan China terhadap import produk akuatik dari Jepun, dan menuntut China menarik balik sekatan ke atas produk hasilan negaranya. Petugas pertubuhan masyarakat Jepun--Jawatankuasa Perhubungan Kebangsaan Terhadap Perlepasan Air Tercemar dari Loji Kuasa Nuklear, Kaoru Iwata berpendapat, kerajaan Jepun mengambil tindakan ini adalah untuk mengalihkan perhatian masyarakat dan "pihak yang melepaskan air tercemar radioaktif ke laut seharusnya dijadikan pihak yang didakwa." 

Ini bukan kali pertama bagi Jepun "memfailkan saman" di WTO. Pada September 2013, kerajaan Korea Selatan melarang pengimportan produk akuatik dari lapan wilayah di Jepun, termasuk Fukushima, dan 27 jenis produk pertanian dari 15 wilayah negaranya. Pada tahun 2015, kerajaan Jepun memfailkan aduan kepada WTO berhubung larangan Korea Selatan melanggar peraturan WTO. Pada akhirnya, WTO membuat keputusan bahawa Jepun kalah dalam kes itu dan tindakan yang diambil Korea Selatan adalah munasabah. 

Dalam perkembangan lain, menurut Undang-undang Keselamatan Makanan China, makanan yang diimport perlu memenuhi piawaian keselamatan makanan kebangsaan China, dan jika tidak memenuhi peraturan atau terdapat bukti membahayakan kesihatan manusia, makanan terbabit perlu dihentikan pengimportannya dan dipanggil pulang dengan segera. Di samping itu, menurut peraturan dalam Pentadbiran Keselamatan Makanan Import dan Eksport China pula, jika sistem keselamatan makanan negara pengeksport (rantau) mengalami perubahan besar dan tidak dapat memastikan keselamatan makanan terjamin, langkah-langkah wajib diambil untuk menggantung atau melarang pengimportan terbabit. 

Pada peringkat antarabangsa pula, menurut Perjanjian tentang Penerapan Tindakan Sanitari dan Fitosanitari WTO, negara-negara anggota berhak untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi keselamatan nyawa dan kesihatan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. 

Ini membuktikan tindak balas yang diambil oleh China adalah rasional, sah dan mustahak.