CAEXPO Penggerak Integrasi Ekonomi Serantau
Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) berkembang menjadi penggalak penting globalisasi ekonomi dan integrasi ekonomi serantau.
Menurut Sekretariat CAEXPO, pameran berkenaan menjadi medium untuk menggalakkan kerjasama dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan dan budaya antara China dengan negara ASEAN.
Sejak dilancarkan pada 2004, CAEXPO menyaksikan banyak aktiviti dan acara bertaraf tinggi diadakan, antaranya sebanyak lebih 300 forum dan mesyuarat peringkat menteri membabitkan bidang kesalinghubungan, kapasiti pengeluaran, urusan pelepasan kastam dan kewangan.
Selain itu, sebilangan projek juga dijayakan menerusi usaha sama, seperti 'Dua Negara, Taman Berkembar' China-Malaysia, Pusat Maklumat China-ASEAN dan Perikatan Pengangkutan Multimod China-ASEAN (CAMTA).
Kini, China dan ASEAN sedang giat menggerakkan rundingan mengenai pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0, sekali gus meningkatkan tahap keterbukaan ekonomi dan dagangan secara keinstitusian.
Difahamkan, kolaborasi serantau semakin diperkasa susulan penguatkuasaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) China-Kemboja, kemajuan rundingan mengenai penaiktarafan FTA antara China dengan Singapura, serta kemantapan kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Statistik terkini menunjukkan, nilai pelaburan dua hala antara China dengan negara-negara ASEAN melebihi AS$380 bilion (RM1.8 trilion) setakat Julai.
Selain itu, China telah menubuhkan lebih daripada 6,500 syarikat yang mengendalikan pelaburan langsung di ASEAN.