China Hormati Keperluan Sebenar Afrika: Presiden Senegal

2023-09-12 15:14:00  CRI
Share with:

China sentiasa menghormati keperluan sebenar Afrika ketika menjalankan kerjasama dengan benua itu, kata Presiden Senegal Macky Sall.

Beliau berkata hubungan rakan yang berakar pada zaman kolonial tidak diterima lagi oleh rakyat Afrika sekarang ini.

"Perubahan zaman yang sangat besar telah berlaku. Generasi sekarang termasuk saya sendiri dilahirkan pasca zaman kolonial, semuanya menolak hubungan seumpama. Apatah lagi golongan yang dilahirkan selepas Senegal mencapai kemerdekaan, dengan umur antara 20 hingga 30 tahun. 

"Justeru, cara kerjasama mesti diubah suai. Saya rasa ramai rakan kongsi sudah menyedari hal ini dan mempertimbangkannya dalam kerjasama baharu," kata Sall dalam temu bual eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Beliau turut menghargai kesungguhan China dalam mengkaji projek-projek yang dikehendaki Afrika, bukannya memberi pinjaman secara sembarangan. Usaha pengumpulan modal juga dijalankan berdasarkan keperluan dan prioriti Afrika.

Sall berkata Afrika mengharapkan rakan kongsi yang saling menguntungkan.

Dalam konteks menerima bantuan, beliau berpendapat Afrika memerlukan pengumpulan modal yang bersesuaian, iaitu dengan kadar faedah yang berpatutan.

"Ini membolehkan Afrika mampu membayar hutang secara konsisten. Dengan tempoh pembayaran cukup panjang, Afrika tidak payah menggunakan semua keuntungan yang diperoleh untuk membayar faedah hutang," kata beliau.

Sall yakin kerjasama menerusi kaedah itu dapat mendorong kemajuan Afrika, sekali gus membawa manfaat kepada seluruh dunia.