China, Kemboja Ikrar Mantapkan Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib

2023-09-15 15:06:32  CRI
Share with:


Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet yang dalam rangka lawatan rasmi di Beijing hari ini.

Xi menyifatkan keputusan Hun Manet memilih China sebagai destinasi lawatan pertama selepas menyandang jawatan Perdana Menteri, memperlihatkan peri pentingnya ikatan persahabatan dua negara bagi pentadbiran baharu Kemboja.

Beliau berkata kedua-dua pihak harus memanfaatkan mekanisme jawatankuasa penyelaras antara kerajaan dan memastikan pelan tindakan baharu mengenai pembinaan komuniti berkongsi nasib dilaksanakan dengan baik.

"Rangka kerjasama 'intan enam sisi' perlu disempurnakan, manakala usaha sama dalam membina 'koridor pembangunan perindustrian' dan 'koridor limpahan ikan dan beras' terus dipergiat. 

"Kami (China) bersedia menjalankan kolaborasi penguatkuasaan undang-undang secara berkala dengan pihak Kemboja dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan seperti penipuan dalam talian," ujar Xi.

Presiden itu mahu melihat aktiviti 'Tahun Persahabatan China-Kemboja' diadakan dengan jayanya, dan kerjasama membabitkan belia, pendidikan, pelancongan dan perubatan terus diperluas.

Beliau turut meluahkan hasrat ingin bersinergi dengan Kemboja ke arah memantapkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara, di samping bersama-sama mempertahankan keadilan antarabangsa serta kepentingan sah negara membangun.

Sementara itu, Hun Manet menyatakan kesediaan Kemboja untuk memperkasa kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), serta kolaborasi di bawah rangka 'intan enam sisi' yang melibatkan perindustrian, pertanian, pelaburan, sosiobudaya dan lain-lain.

"Pihak kami sudi mempererat koordinasi dengan China dalam urusan rantau dan antarabangsa sekali gus melonjakkan hubungan bilateral ke tahap baharu," kata beliau.