Persahabatan China dan Malaysia Berasaskan Saling Percaya

2023-09-18 14:58:09  CRI
Share with:

Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Nanning dalam kemeriahan tarian dan nyanyian tradisi pelbagai etnik di Guangxi petang semalam. Walaupun lawatan beliau ke China untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN(CAEXPO) ke-20 kali ini hanya 12 jam, tetapi cukup signifikan.

 

Jarang berlaku seorang pemimpin negara asing melawat China dua kali dalam tempoh setengah tahun. DSAI juga turut mengundang Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang melawat Malaysia pada tahun hadapan bersempena dengan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia-China.

 

Semasa berucap pada majlis perasmian CAEXPO ke-20, DSAI menyatakan bahawa Malaysia dan ASEAN sentiasa menganggap China sebagai sahabat, jiran dan rakan dagang yang boleh dipercayai dan bekerjasama. Beliau mengambil contoh tentang teknologi 5G Huawei yang tular baru-baru ini. Malaysia tidak bimbang akan teknologi 5G dari China terutamanya, Huawei, sebab hubungan bilateral yang telah terjalin selama beberapa abad ini membuktikan hubungan saling mempercayai antara Malaysia dan China.

 

Beliau turut menyatakan bahawa dunia mulai memahami globalisasi dan trend pengantarabangsaan sejak abad ke-15 ketika Laksamana Cheng Ho melawat Melaka dan menjalinkan hubungan saling mempercayai serta persahabatan bilateral. Ini bertepatan dengan prinsip saling  mempercayai, persahabatan, ketulusan dan inklusif yang menjadi falsafah dan visi Presiden Xi, tanpa perlu bimbang akan intimidasi, kolonisasi dan imperialisme. Hal inilah menyebabkan beliau datang untuk meneruskan persahabatan kedua-dua negara.

 

Lawatan DSAI kali ini menyaksikan pemeteraian MOU yang bernilai RM19.84 bilion dengan China. Antaranya, projek yang melibatkan pelaburan paling tinggi, iaitu kira-kira RM15 bilion adalah projek kerjasama untuk menjana kuasa dengan menggunakan sisa buangan.

 

Ya, Barat mengeksport sisa buangan ke Malaysia secara haram, sebaliknya China membantu Malaysia menguruskan sisa buangan tersebut secara bersih dan menukarnya menjadi tenaga elektrik.

 

Dalam pertemuan dengan DSAI, PM Li Qiang juga menegaskan peri pentingnya usaha meneruskan dan mempererat persahabatan dari generasi ke generasi, meningkatkan rasa saling mempercayai dalam bidang politik, menyelaras hubungan bilateral dan kerjasama dalam pelbagai bidang pada masa depan. Usaha ini bagi mencapai hasil yang benar-benar membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara serta memberi sumbangan lebih besar bagi kestabilan dan kemakmuran serantau.

 

Tidak boleh dinafikan masih terdapat pertikaian antara China dengan beberapa negara ASEAN berkaitan isu Laut China Selatan. Namun, teori politik Barat pula mengiktiraf hubungan ekonomi yang rapat membantu mengurangkan risiko tercetusnya perang.

 

Mungkin perkara ini yang menjadi kebimbangan kuasa tertentu di luar rantau ini. Oleh itu, pihak berkenaan selalu mencetuskan ketegangan di Laut China Selatan, mengadakan latihan ketenteraan dan membina pangkalan tentera, seolah-olah menghasutkan China dan ASEAN untuk berperang seawal mungkin.

 

Misalnya, membesar-besarkan isu peta edisi terbaharu China. Sebenarnya, peta setiap negara yang terlibat dalam isu Laut China Selatan mestilah bersesuaian dengan tuntutan sendiri dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang lain. Jangan lupa, pertikaian yang sama juga berlaku antara negara-negara ASEAN sendiri.

 

Kita patut yakin kepada kebijaksanaan kerajaan pelbagai negara terbabit untuk menyelesaikan pertikaian dengan kaedah yang boleh diterima oleh semua pihak. Tetapi, seperti yang dinyatakan oleh DSAI, penyelesaian masalah multilateral yang rumit mungkin mengambil masa puluhan tahun. Walau bagaimanapun, ini pilihan yang lebih baik berbanding konflik ketenteraan.