Hubungan China-ASEAN Model Paling Berjaya dalam Kerjasama Asia Pasifik- PM China
Perdana Menteri China Li Qiang menyifatkan hubungan China-ASEAN sebagai model yang paling berjaya dan dinamik dalam kerjasama Asia Pasifik serantau susulan hasil usaha bersama pelbagai pihak.
Li membuat kenyataan itu pada majlis perasmian Ekspo China-ASEAN ke-20 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN ke-20 di Nanning, Wilayah Autonomi Guangxi di selatan China pada Ahad.
“Empat kata yakni 'akrab, ikhlas, manfaat dan inklusif' merupakan teras hubungan tersebut.
“Keempat-empat kata tersebut bukan sekadar asas diplomasi kejiranan China, tetapi juga penting untuk mewujudkan masa depan yang lebih indah bagi semua pihak,” ujar PM Li.
“China bersedia memperkasakan kerjasama dengan ASEAN dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan pertukaran dalam golongan belia untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat kedua-dua pihak, menjalankan kerjasama dan memupuk rasa saling percaya dalam pelbagai bidang dan berpegang kepada perjanjian yang tercapai.
“Selain itu, China juga bersedia untuk meningkatkan pengimportan produk yang lebih kompetitif dan bercirikan tempatan dari negara-negara ASEAN, dan membina rantaian industri dan bekalan serantau yang lebih stabil dan lancar, meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi pembangunan negara-negara terlibat," tambah Li.
Majlis perasmian tersebut turut diseri dengan kehadiran kira-kira 1,200 pemimpin, pegawai, wakil industri dan perniagaan dari negara dan kawasan serantau yang termasuk Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, Timbalan Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand, Phumtham Wechayachai dan Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn.