Manfaat Penganjuran Temasya Sukan Lebih Besar Berbanding Peruntukan

2023-09-19 15:19:48  CRI
Share with:

Sukan Asia Ke-19 akan membuka tirainya pada hujung munggu ini.  Sejak beberapa tahun ini, China turut menganjurkan beberapa temasya sukan antarabangsa, termasuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 dan juga Sukan Universiti Dunia.

 

Kemboja pula baru saja menganjurkan Sukan Asia Tenggara.

 

Sering ditanya apakah manfaat penganjuran temasya sukan antarabangsa yang menelan peruntukan besar.

 

Saya ingin berkongsi apa yang saya lihat dan dengar kepada saudara sekalian.

 

Selain tapak Pertandingan Big Air di Taman Shougang yang berhampiran dengan rumah saya telah banyak kali disebut dalam hantaran saya sebelum ini, saya juga pernah mengunjungi Pusat Lompat Ski Negara di Chongli atau dipanggil "Snow Ruyi".

 

Kini, kawasan sekitar tapak pertandingan tersebut menjadi pekan pelancongan. Saya pernah pergi ke situ kerana ada kawan menyertai maraton pegunungan yang pelepasan dilakukan di pekan tersebut. Saya memang tidak mampu ikut serta dalam maraton, jadi saya bersama-sama si kecil hanya bersiar-siar di situ.

 

Pada musim panas, tentulah tiada salji di lereng bukit. Tetapi tempat itu turut menjadi tapak basikal pegunungan, yang menarik ramai penggemar dari luar negara.

 

Suhu yang lebih rendah, iaitu kira-kira 10 darjah Celsius berbanding bandar Beijing menyebabkan ramai keluarga memilih untuk bercuti di sana pada musim panas. Pengunjung boleh menaiki kereta kabel yang dulu digunakan untuk membawa para atlet Olimpik hingga ke puncak bukit bagi menikmati pemandangan yang indah.

 Dari kereta kabel, saya melihat mesin pembuat salji di lereng bukit. Pada musim sejuk, lereng bukit ini cepat akan berubah menjadi tapak luncur salji lagi. Terdapat beberapa hotel dalam pekan itu yang mesra dengan para penggembar luncur salji, ada laluan masuk langsung ke tapak luncur salji khusus.

 

Itu antara penggunaan lain fasiliti setelah temasya sukan berakhir. Maka pada cuti sekolah musim panas kali ini, saya telah membawa si kecil menikmati fasiliti Sukan Asia di Hangzhou sebelum sukan ini membuka tirainya kelak.

 

Misalnya, hotel di tepi Tasik Qiandaohu tempat saya menginap ialah tapak beberapa pertandingan air bersempena dengan Sukan Asia Hangzhou nanti. Tasik Qiandaohu merupakan destinasi pelancongan yang sangat terkenal di China. Hotel tersebut dan beberapa hotel lain di sekitarnya kini telah menjadi perkampungan atlet. Selepas Sukan Asia, perkampungan ini akan dibaik pulih dan dibuka semula kepada para pelancong.

 

Antara 56 venue pertandingan untuk Sukan Asia Hangzhou kali ini, 12 venue baru dibina.

 

Banyak pelan pengubahsuaian venue pertandingan sedia ada yang memberi manfaat kepada lebih ramai orang telah dilaksanakan untuk menjimatkan perbelanjaan.

 

Stadium Universiti Industri dan Perniagaan Zhejiang, contohnya telah dipilih menjadi tapak pertandingan bola baling. Oleh itu, lantai kayu yang sedia ada perlu dinaik taraf untuk pertandingan bertaraf profesional. Pihak universiti telah memindahkan lantai kayu yang sedia ada ini ke sebuah sekolah menengah di sebuah kaunti di bandar Hangzhou.

 

Ketika semester baharu bermula, para pelajar sekolah menengah tersebut amat gembira apabila mendapati stadium mereka yang dulunya hanya berlantaikan simen kini berlantaikan kayu.

 

Ini hanya contoh kecil yang saya lihat dan dengar. Jika ditinjau dari aspek yang lebih luas, pembangunan ekonomi China terbukti lebih pesat selepas penganjuran Sukan Olimpik Beijing pada 2008.

 

Dengan perancangan yang sempurna, penganjuran temasya sukan mampu membawa manfaat yang jauh lebih besar berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan.