Fenomena Rompakan 'Flash Mob' Masih Berlegar
"Rompakan 'flash mob' sebenarnya jenayah terancang." Hantaran pengguna media sosial Amerika Syarikat (AS) itu luahan kemarahan mereka terhadap tindakan keji tersebut.
Sekumpulan penyamun meluru masuk ke kedai untuk mengaut barang-barang dan melarikan diri dengan cepat. Jenayah pecah rampas (smash-and-grab) itu semakin berleluasa di AS dan menyakitkan hati pemain sektor runcit tempatan.
Laporan Persekutuan Runcit Kebangsaan (NRF) menunjukkan, jenayah terancang menyasarkan industri runcit di AS meningkat sebanyak 26.5 peratus pada 2022 berbanding 2021.
Dicatatkan, industri runcit negara itu mengalami kerugian sebanyak AS$94.5 bilion (RM443.6 bilon) pada 2021, lebih banyak daripada paras AS$90.8 bilion (RM426.2 bilion) yang direkod pada 2020.
Kes rompakan berlaku dengan berleluasa. Patutkah pihak polis AS memperhebat penguatkuasaan undang-undang bagi menangani jenayah itu?
Namun, realiti adalah sebaliknya. Jabatan polis negara itu menghadapi masalah kekurangan kakitangan dan isu penjawatan.
Dapatan kajian Forum Penyelidikan Eksekutif Polis (PERF) menunjukkan, bilangan pegawai polis yang meletakkan jawatan mencatatkan lonjakan sebanyak 47 peratus pada 2022 berbanding 2019.
Jenayah masih lagi berlaku, namun kekuatan anggota polis tidak mencukupi. Boleh dibayangkan bahawa penguatkuasaan undang-undang memanglah kurang berkesan.
Selain itu, hukuman yang tidak setimpal juga merupakan penyumbang kepada peningkatan kes rompakan.
Sebagai contoh, Proposisi 47 yang diluluskan negeri California pada 2014 mengklasifikasikan semula kegiatan mencuri membabitkan nilai AS$950 (RM4,459.3) ke bawah sebagai salah laku ringan, bukan jenayah berat.
Jika diteliti lebih lanjut, adalah jelas bahawa kekerapan berlakunya kes rompakan berkait rapat dengan kadar pengangguran yang semakin meninggi.
Menurut Jabatan Tenaga Kerja AS, kadar pengangguran bagi Ogos meningkat sebanyak 0.3 mata peratusan daripada bulan sebelumnya, paras tertinggi sejak Februari 2022.
Turut didapati bahawa jenayah pecah rampas di negara itu mencapai kemuncak pada bulan yang sama.
Ada penganalisis berkata fenomena rompakan 'flash mob' memperlihatkan wujudnya jurang besar antara yang kaya dan miskin dalam masyarakat negara itu.